Anda di sini

Protes ikrar tekan ekonomi HK

Advertisement
 Para wartawan dan jurugambar terkejut apabila dilontar dengan koktel Molotov ketika penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis antirusuhan di luar PolyU di Hong Kong, semalam. — Gambar Reuters
DEMI TUGAS: Para wartawan dan jurugambar terkejut apabila dilontar dengan koktel Molotov ketika penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis antirusuhan di luar PolyU di Hong Kong, semalam. — Gambar Reuters

HONG KONG: Pihak polis Hong Kong melepaskan gas pemedih mata pagi semalam ke arah penunjuk perasaan yang berikrar meneruskan cengkaman mereka ke atas terowong jalan utama ketika para aktivis prodemokrasi berjanji akan menekan ekonomi sehingga minggu depan.

Penyokong tegar yang menawan Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) di Kowloon yang kini menjadi medan pertempuran utama berhampiran Cross Tunnel Harbour yang disekat, memberikan respons dengan melontar koktel Molotov sejurus sebelum jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Beberapa penyokong kerajaan berkumpul di kawasan itu lebih awal bagi membuang penghadang berhampiran kampus universiti, yang menyaksikan lebih banyak keganasan semalaman ketika polis antirusuhan menggempur penunjuk perasaan.

Kira-kira 80 hingga 100 penduduk berusia separuh baya bertepuk tangan dan bersorak semasa memindahkan serpihan dari atas jalan raya berhampiran pintu masuk ke Cross Harbour Tunnel ke pulau Hong Kong yang ditutup sejak Selasa lepas, setelah penunjuk perasaan yang memakai topeng muka dan baju-T hitam kembali membina semula sekatan jalan.

Media tempatan melaporkan aktivis telah melontar batu bata ke arah penduduk.

Pertempuran meletus ketika penunjuk perasaan berikrar dalam media sosial untuk meneruskan kempen ‘Blossom Everywhere’ mereka dengan halangan dan vandalisme di sekitar hab kewangan separuh autonomi yang pada minggu lepas menyaksikan penutupan beberapa rangkaian kereta api serta sekolah dan pusat beli-belah.

Sekeping poster yang disebarkan dalam media sosial menyeru tindakan subuh Isnin ini.

“Bangun awal, sasar secara langsung kepada rejim, hentam ekonomi bagi menambahkan tekanan,” jelasnya.

Pelajar dan penunjuk perasaan pada minggu lepas pada minggu lepas menawan beberapa universiti utama, pertama kali sebuah pergerakan yang tidak dijangkakan dan tidak berkumpul di lokasi tetap.

PolyU telah menjadi tumpuan utama di bandar itu yang telah digegarkan keganasan dan ketegangan yang semakin teruk selama seminggu.

Satu mesej di laman Facebook milik universiti telah menggesa penunjuk perasaan agar segera berundur dari situ.

“Dalam pandangan melibatkan keselamatan akibat aktiviti melanggar undang-undang dan ganas yang dilakukan penunjuk perasaan yang masih lagi menawan kampus PolyU, pihak universiti sekali lagi menggesa semua orang di dalam kampus termasuk pelajar dan anggota kakitangan agar tidak berada di situ dan pergi secepat yang mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

Anggota Tentera Pembebasan Rakyat China yang berpangkalan di berek-berek berhampiran Universiti Baptis Hong Kong, segera keluar kelmarin bagi membantu kerja pembersihan selepas gangguan selama seminggu dalam kerahan yang jarang dilihat di bandar itu.

Media rasmi China sudah beberapa kali memberikan amaran bahawa pasukan tentera mungkin dikerahkan bagi melerai krisis yang tidak dijangkakan yang telah memasuki bulan keenamnya di bandar separuh autonomi tersebut.

Mengesahkan kerahan ringkas itu, PLA menyatakan ia bertindak membuka sebatang jalan raya yang dipenuhi dengan serpihan di luar berek mereka di Kowloon Tong untuk trafik, sekali gus mendapat tepukan gemuruh penduduk ketika proses tersebut.

Kali terakhir anggota tentera ditugaskan di bandar pada 2018 bagi membersihkan selepas serangan taufan.

Jurucakap kerajaan Hong Kong menyatakan pergerakan tentera itu tidak diminta oleh pihak berkuasa bandar, sebaliknya aktiviti komuniti sukarela yang dicadangkan oleh mereka sendiri.

Protes bermula membantah rang undang-undang yang sekarang ditangguhkan bagi membolehkan ekstradisi ke China namun telah bertukar menjadi permintaan yang lebih meluas untuk demokrasi.

Dua orang telah terkorban bulan ini ketika keganasan bertambah buruk, sementara hab kewangan berdepan kemerosotan akibat pergolakan berterusan. — AFP

Advertisement