Anda di sini

PH terima padah kerana tidak tunai manifesto

Advertisement
MASING
MASING

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata tidak menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan Tanjung Piai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kelmarin (Sabtu).

Beliau berkata pemimpin-pemimpin PH berpendapat rakyat tidak akan ‘terpengaruh’ jika mereka tidak menunaikan manifesto PRU14 yang dijanjikan, tindakan itu jelas memandang rendah pengundinya.

Beliau menambah, kesilapan mereka itu telah menyebabkan calon PH Karmaine Sardini tewas dengan majoriti besar kepada calon MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

“Mereka (PH) tidak mengambil serius (kesan) tidak menunaikan manifesto PRU14.

“Ia bukan kitab suci, itu kata (Perdana Menteri Tun Dr) Mahathir dengan penuh sindiran, jika ditanya kenapa PH tidak menunaikan manifesto PRU14 mereka.

“Di (PRK) Tanjung Piai, PH menerima padah kerana tidak menunaikan janji mereka,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata pada hari dan era ini, kejujuran adalah dasar terbaik dan kecedikan serta sindiran tidak dinginkan lagi.

Beliau menambah, keikhlasan dan kejujuran dua sifat manusia yang dimahukan rakyat.

Masing berkata satu lagi faktor kemenangan mengejut BN (Barisan Nasional) ialah kerana mengguna pakai formula meletakkan calon MCA yang disokong penuh UMNO-PAS.

“Ini (kemenangan BN) adalah permulaan kepada PRU15. Gabungan UMNO-PAS sekarang akan dilihat tidak terlalu mesra Melayu oleh pengundi bukan Melayu.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan dengan gabungan dua parti Melayu ini,” katanya.

Advertisement