Anda di sini

Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei kembali lagi 

Advertisement
Len (kiri) bercakap mengenai Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei. Turut kelihatan Christopher (dari kanan), Felicia dan Mawan.
Len (kiri) bercakap mengenai Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei. Turut kelihatan Christopher (dari kanan), Felicia dan Mawan.

KUCHING: Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei kembali lagi bagi edisi ke-16  bermula 22 November hingga 1 Disember ini. 

Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata pesta nanas ini adalah satu pendekatan kerajaan negeri untuk terus mempromosikan Bahagian Sarikei sebagai 'Food Basket Sarawak'. 

"Sarikei sememangnya terkenal dengan pengeluaran buah-buahan dan nanas. 

"Tahun ini, pengisian program dipertingkatkan dengan enam komponen utama iaitu,produk dan perkhidmatan, keusahawan dan perdagangan, pendidikan, pertandingan, kebudayaan dan hiburan serta sukan dan rekreasi," katanya. 

Len yang juga penaung jawatankuasa Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei  berkata demikian pada sidang media mengenai pesta tersebut di pejabatnya, Tingkat 17, Wisma Sumber Alam di sini, hari ini. 

Tambah Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, pesta selama 10 hari ini di Bandar Sarikei itu antara lain bertujuan meningkatkan ekonomi bukan sahaja di Sarikei tetapi keseluruhan kawasan Kuala Rajang. 

Tahun lepas katanya, pesta berkenaan berjaya menarik kehadiran 90,000 pengunjung dan tahun ini penganjur mensasarkan kehadiran 100,000 pengunjung. 

Dari segi jualan pula katanya, pesta tahun lepas berjaya mengumpul jualan sebanyak RM1.4 juta dan mensasarkan RM1.5 juta jualan tahun ini. 

Penganjuran pesta tersebut diterajui Pejabat Residen Sarikei dengan kerjasama strategik jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta di Bahagian Sarikei. 

Untuk keterangan lanjut mengenai Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2019 orang ramai boleh  menghubungi Seksyen Transformasi Sosial Bahagian, Pejabat Residen Bahagian Sarikei di talian 084-655432/651104. 

Hadir sama pada sidang media tersebut, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Residen Sarikei Felicia Tan dan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting. 

  • oleh
  • Advertisement