Anda di sini

‘Nanga Ukom - The Sarawak’ klip video pendek terbaik

Advertisement
 (Dari empat kanan) Ling, Irene, Zoey dan Irene merakam kenangan bersama para pemenang (dari kanan) Shia, Charlton dan Lin.
TAHNIAH: (Dari empat kanan) Ling, Irene, Zoey dan Irene merakam kenangan bersama para pemenang (dari kanan) Shia, Charlton dan Lin.

SIBU: Shia Yih Phen dari Kuching, yang mempertaruhkan filem pendeknya berjudul ‘Nanga Ukom - The Sarawak’ berjaya menambat hati para juri, sekali gus dinobat johan Pertandingan Klip Video Pendek Sarawak yang julung kali diadakan.

Karya yang menceritakan keunikan budaya suku kaum Dayak itu membolehkan Shia membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil penyertaan pada majlis penyampaian hadiah di sebuah hotel terkemuka di Sibu, malam kelmarin.

Naib johan yang membawa pulang hadiah RM2,500 berserta trofi dan sijil penyertaan dimenangi Charlton Andrew, juga dari Kuching dengan karya filem pendeknya berjudul ‘Welcome To The Kingdom’.

Manakala filem berjudul ‘The Gift of Motherland’ hasil karya Lin Zing Kai dari Sibu menyandang tempat ketiga dan membawa pulang RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling.

Sementara hadiah sagu hati RM500 kepada lima peserta iaitu Chan Kiang Hong, Chong Ee Vei, Amson Wong Yong How, Abdul Walid Ali dan Abdul Muneer Mohamad Ali disampaikan Presiden Persatuan E-Platform Media Digital Sarawak Zoey Ting yang juga pengerusi penganjur pertandingan.

Menurut Zoey, dalam masa sebulan sahaja pihaknya menerima sebanyak 61 penyertaan dari seluruh Sarawak merangkumi peserta dari Kuching, Sibu, Kota Samarahan, Lawas, Lundu, Miri dan Bintulu.

Beliau menambah, daripada jumlah itu hanya 20 finalis tersenarai untuk merebut tempat tiga teratas.

“Menang atau tidak pada malam ini, itu semua tidak penting.

“Isu yang paling penting adalah penganjuran pertandingan ini adalah untuk mencungkil lebih ramai bakat terutama dalam pembikinan video, fotografi, programer, pereka grafik, animator, pencipta kandungan dan banyak lagi,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang dan tetamu jemputan lain.

Advertisement