Anda di sini

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran: Permaisuri

Advertisement
 Tunku Azizah berkenan mencium murid Nik Mohamad Afiq Nik Aziz, 7, yang menghidap Sindrom Down pada Majlis Apresiasi Pendidikan Kali ke-16 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di Indera Mahkota, Kuantan semalam. — Gambar Bernama
BERKONGSI KASIH: Tunku Azizah berkenan mencium murid Nik Mohamad Afiq Nik Aziz, 7, yang menghidap Sindrom Down pada Majlis Apresiasi Pendidikan Kali ke-16 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di Indera Mahkota, Kuantan semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Ibu bapa dan guru disaran untuk tidak menekan anak-anak secara keterlaluan dalam perihal pelajaran kerana dibimbangi boleh memberi kesan psikologi kepada anak tersebut.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah perkara itu dibimbangi akan menyebabkan anak itu mengalami tekanan atau depresi sehingga membawa kepada kejadian lebih buruk.

Seri Paduka bertitah, anak-anak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali dan ada masanya perlu diberikan masa untuk bermain dan menikmati masa gembira, dengan pengawasan daripada ibu bapa dan dibantu oleh guru.  

“Biar mereka bermain supaya bila sudah dewasa, dia (anak) mempunyai kenangan pernah berbuat begini, begitu...tidaklah dia teringat asyik kena belajar atau menghafal sahaja.

“Begitu juga kalau saya asyik bawa pulang homework (kerja sekolah), Bah (ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Iskandar) akan bertanya bila saya hendak meluangkan masa berborak dengan Bah kerana asyik belajar sahaja,” titah Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Pendidikan Kali ke-16 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di Indera Mahkota di sini semalam, yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang Datin Seri Burhah Mohammed dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Pada majlis itu, Seri Paduka juga berkenan mencemar duli mengurniakan 149 anugerah kecemerlangan kepada 145 penerima, tujuh anugerah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 dan 11 anugerah Tokoh Murid.

Tunku Azizah sambil tersenyum ke arah Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah yang berada di hadapan baginda, bertitah semasa kecil, anakanda bongsu itu sesekali, ada bertanya jika dibenarkan untuk tidak ke sekolah pada hari tertentu.

Ibu bapa juga walaupun sibuk, tambah Seri Paduka perlu sentiasa memantau pergerakan anak dan mengambil tahu rakan terdekat anak supaya mereka tidak berasa tersisih dan membawa haluan sendiri tanpa bimbingan, selain perlu mengawasi penggunaan media sosial anak.

— Bernama

Advertisement