Anda di sini

Hamilton tidak menjangkakan dianugerah pingat kebesaran negara

Advertisement
HAMILTON
HAMILTON

SAO PAULO, Brazil: Lewis Hamilton berkata beliau tidak menjangkakan kejayaan memenangi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali keenam dalam kariernya akan menyebabkan beliau dianugerah pingat kebesaran negara pada akhir tahun.

Peminat pemandu pasukan Mercedes itu menyokong beliau untuk diberikan anugerah seperti bintang sukan British yang lain seperti pemenang Tour de France (bebasikal), Bradley Wiggins, Mo Farah (olahraga), Andy Murray (tenis) dan Alastair Cook (kriket), yang diberikan anugerah kebesaran dengan gelaran ‘Sir’.

Hamilton, yang jelas pemandu lumba kereta paling berjaya di Britain apabila memenangi kejuaraan dunia dua kali ganda lebih banyak berbanding Sir Jackie Stewart, meragui ia akan berlaku.

“Saya tidak begitu memikirkannya,” kata beliau semasa Grand Prix Brazil di sini. “Hanya kerana peminat menyuarakannya, ia sudah satu penghormatan bagi saya, tetapi ia bukan sesuatu yang saya kejar dalam kehidupan saya.

“Jika ia berlaku, saya sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk mengharunginya.

“Saya sudah berdiri di hadapan Ratu (England) sebelum ini dan ia satu pengalaman agak luar biasa. Apa pun, saya tidak fikir ia akan berlaku lagi, ia tidak meresahkan saya jika ia tidak berlaku.”

“Ia tidak bermakna saya bukan warga British. Ia tidak bermakna saya tidak akan terus mencuba dan membawa bendera negara seperti yang saya mampu,” tambah beliau.

Pengurus pasukan Mercedes, Toto Wolff sudah kerap berkata di mana beliau merasakan pencapaian Hamilton tidak cukup diiktiraf di negaranya sendiri dan mungkin tidak akan dihargai sepenuhnya sehinggalah beliau meninggalkan sukan itu.

Apabila Hamilton memenangi kejuaraan dunia yang kelima beliau tahun lepas, beliau adalah naib juara Anugerah Personaliti Sukan Terbaik BBC, yang dimenangi juara Tour de France, Geraint Thomas.

Britain, yang sudah menghasilkan lebih banyak juara dunia dari mana-mana negara dalam sejarah F1, sememangnya tidak pernah mempunyai sesiapa pun seperti beliau dan hanya bintang legenda Jerman, Michael Schumacher dengan tujuh kejuaraan dunia, sudah memenangi lebih banyak kejuaraan dunia.

Hamilton sudah memenangi purata 10 perlumbaan dalam setahun untuk enam musim terakhir, satu purata yang menyaksikan beliau berada di landasan untuk mengatasi rekod 91 kemenangan perlumbaan Schumacher pada tahun hadapan. — Reuters

Advertisement