Anda di sini

Final Jelajah ATP: Thiem sentak Zverev

Advertisement
 Thiem mempamerkan aksi penuh bertenaga ketika beraksi menentang Zverev di London, england kelmarin. — Gambar Reuters
AKSI CEMERLANG: Thiem mempamerkan aksi penuh bertenaga ketika beraksi menentang Zverev di London, england kelmarin. — Gambar Reuters

LONDON, England: Dominic Thiem menewaskan juara bertahan, Alexander Zverev untuk melangkah ke final kejohanan akhir musim, Final Jelajah ATP di sini Sabtu lepas.

Pemain pilihan kelima kejohanan dari Austria itu, menewaskan jaguh Jerman itu 7-5 dan 6-3 untuk menempah pertemuan menentang pemain muda Greece, Stefanos Tsitsipas, yang mengejutkan Roger Federer 6-3 dan 6-4 pada perlawanan separuh akhir pertama.

Thiem beraksi buat kali keempat beliau pada kejohanan akhir musim ini tetapi pada tiga kunjungan pertama, beliau hanya menang tiga perlawanan dan tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.

Zverev memenangi 75 peratus mata pada servis pertama beliau tetapi Thiem beraksi lebih baik pada mata penting perlawanan.

Zverev, yang menewaskan Novak Djokovic di final tahun lepas, beraksi dengan baik tetapi kesilapan demi kesilapan pada pukulan servis menyebabkan beliau tewas 5-7 pada set pertama.

Pemain pilihan ketujuh yang berusia 22 tahun itu meningkatkan permainan pada set kedua tetapi Thiem mengekalkan keyakinan beliau dari set pertama.

“Ini adalah impian menjadi kenyataan bagi saya, ia adalah salah satu kejohanan terbesar sepanjang tahun dan saya mendapat peluang beraksi di final,” kata Thiem.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang melangkah ke final Terbuka Perancis tahun ini, dianggap sebagai pemain pakar di gelanggang tanah liat tetapi berseloroh di mana beliau sudah meminati permukaan simen selepas memenangi kejohanan dalam dewan di Vienna bulan lepas  dan melangkah ke final di sini.

Pada perlawanan awal, Tsitsipas menamatkan impian Federer untuk memenangi kejohanan ini buat kali ketujuh.

Federer kelihatan seperti pemain yang berbeza dari kemenangan bergaya ke atas Djokovic di peringkat kumpulan, di mana beliau bergelut dengan pukulan servis dan melakukan 26 kesilapan mudah.

Namun Tsitsipas juga mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan.

“Saya berasa sangat bangga dengan diri saya hari ini, satu prestasi luar biasa dan sekali lagi, penonton di sini cukup hebat,” kata beliau.

Tsitsipas tidak membiarkan sorakan padu penonton kepada Federer menjejaskan keyakinannya dan mula mengawal permainan dari awal sehingga ke akhir permainan.

Walaupun mengimbangi permainan, Federer  ternyata terjejas dengan pukulan servis yang hambar dan juga kesilapan mudah sepanjang permainan. — AFP

Advertisement