Anda di sini

Dua gol Kroos bantu Jerman ‘ratah’ Belarus 4-0

Advertisement
 Kroos (tengah) melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol keempat Jerman pada aksi di Borussia-Park, Moenchengladbach kelmarin. — Gambar Reuters
LEDAK: Kroos (tengah) melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol keempat Jerman pada aksi di Borussia-Park, Moenchengladbach kelmarin. — Gambar Reuters

MÖNCHENGLADBACH, Jerman: Toni Kroos menjaringkan dua gol ketika Jerman mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan membelasah Belarus 4-0 tetapi pemain kelab Real Madrid itu menegaskan masih ada ruang untuk diperbaiki.

Matthias Ginter dan Leon Goretzka menjaringkan dua gol lain ketika Jerman mendahului selesa 3-0 pada awal separuh masa kedua.

Kapten Jerman, Manuel Neuer, beraksi tangkas di pintu gol apabila menepis penalti Igor Stasevich sebelum Kroos menjaringkan gol kedua peribadi tujuh minit sebelum tamat permainan.

“Sehingga kami mendahului 1-0, ia sentiasa sukar apabila berdepan lawan seperti mereka,” kata Kroos.

“Secara keseluruhannya, kami bermain dengan baik tetapi ketika ini, saya tidak meletakkan kami berada di kalangan pasukan pilihan untuk muncul juara (Euro).

“Apa yang penting ialah kami bermain sebagai sebuah pasukan pada perlawanan antarabangsa bulan Mac nanti (persediaan terakhir).”

Kemenangan membolehkan Jerman berkelebihan dua mata di hadapan Belanda dan bermakna kemenangan ke atas Ireland Utara pada perlawanan Selasa ini akan memastikan mereka layak selaku juara Kumpulan C.

“Kami sudah mencapai sasaran kami,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

“Pasukan bermain dengan baik, kami melihat beberapa gandingan yang baik dan juga empat gol.

“Sememangnya tidak semuanya tidak sempurna tetapi secara keseluruhannya saya berasa gembira.”

Loew memberikan pujian khusus kepada pemain pertahanan kelab Borussia Moenchengladbach, Ginter selepas menjaringkan gol pertama beliau untuk Jerman pada perlawanan di stadium kelabnya.

“Beliau seorang pemain bola sepak yang sangat bagus,” kata Loew. “Ia menarik di mana beliau menjaringkian gol yang sangat cantik di stadium kelab beliau sendiri.”

Sebelum perlawanan, Loew bersetuju dengan Kroos di mana pasukannya tidak dapat dipertimbangkan sebagai antara calon untuk memenangi Euro 2020.

Dan kata-kata itu ada kebenarannya selepas aksi hambar dalam separuh masa pertama yang menyaksikan Jerman sukar untuk menembusi pertahanan Belarus walaupun menguasai 80 peratus permainan.

Kecederaan kepada pemain pertahanan, Niklas Suele dan pemain sayap, Leroy Sane, menyaksikan Jerman kehilangan dua pemain penting.

Pemain sayap, Serge Gnabry dan penyerang Timo Werner, mengetuai serangan Jerman.

Selepas Belarus menguji Neuer apabila rembatan Stasevich berjaya melakukan rembatan, Gnabry membantu menghasilkan gol pembukaan Jerman apabila beliau mengumpan bola kepada Ginter pada minit ke-42.

“Sehingga gol pertama dijaringkan, ia adalah sangat sukar mencari ruang di hadapan pintu gol mereka tetapi kami bermain dengan lebih baik dalam separuh masa kedua,” kata Ginter.

Jerman menambah jaringan empat minit selepas rehat apabila Goretzka menyempurna tendangan sudut Kroos.

Kroos menjaringkan gol ketiga Jerman dari umpanan Ginter sebelum melengkapkan jaringan pada lewat permainan. — AFP

Advertisement