Anda di sini

Belanda mengesahkan tiket ke kejohanan Euro 2020

Advertisement
 Van Dijk (tengah) meraikan kejayaan Belanda selepas tamat perlawanan menentang Ireland Utara di Windsor Park, Belfas Sabtu lepas. — Gambar AFP
KEMBALI KE KEJOHANAN BESAR: Van Dijk (tengah) meraikan kejayaan Belanda selepas tamat perlawanan menentang Ireland Utara di Windsor Park, Belfas Sabtu lepas. — Gambar AFP

BELFAST, Ireland Utara: Belanda mengesahkan tiket ke Euro 2020 selepas terselamat dari kegagalan kapten Ireland Utara Steven Davis menyempurnakan tendangan penalti ketika seri tanpa jaringan dengan Ireland Utara.

Skuad kendalian Ronald Koeman itu tiba di Windsor Park dengan menyedari satu mata akan mengesahkan kelayakan mereka dari Kumpulan C.

Mereka mengesahkannya dengan sedikit tuah apabila Davis gagal menyempurnakan satu tendangan penalti dalam separuh masa pertama.

Belanda gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018, jadi saat kelayakan ke Euro 2020 kali ini amat bermakna buat sebuah negara yang kaya dengan warisan bola sepak.

Mereka berada di tangga kedua kumpulan, dua mata di belakang Jerman dengan baki satu perlawanan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk, mengakui kegagalan Davis menyempurnakan penalti adalah saat penting dalam perlawanan itu.

“Ia perlawanan yang sukar. Malang sekali bagi beliau (Davis) tetapi ia berita baik untuk kami! Pemain berasa sangat gembira dalam bilik persalinan. Kami kembali semula ke kejohanan besar,” kata beliau.

Sama ada skuad semasa, diketuai oleh Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt cukup bagus untuk mengulangi kejayaan skuad yang muncul juara pada Euro 1998 ketika diketuai Ruud Gullit dan Marco van Basten, bakal menjadi perdebatan.

Ini bagaimanapun satu langkah ke hadapan untuk skuad muda yang tewas kepada Portugal di final Liga Negara UEFA pada bulan Jun.

“Ia sangat bermakna kepada kami sebagai pemain. Saya berharap ia juga bermakna kepada rakyat Belanda,” kata Van Dijk.

“Kami harus memastikan kami membuat  persediaan yang sangat baik untuk kejohanan besar. Kami gagal layak pada dua kejohanan terakhir dan kami mahu beraksi dengan baik.”

Ireland Utara, di tangga ketiga kumpulan, tidak akan dapat layak menerusi peringkat kumpulan tetapi boleh memastikan slot playoff yang akan berlangsung pada bulan Mac.

Ia ternyata malam yang mengecewakan buat jurulatih Ireland Utara, Michael O’Neill, pada apa yang merupakan perlawanan terakhir beliau di tempat sendiri selepas dilantik sebagai jurulatih kelab Stoke baru-baru ini.

O’Neill, yang akan membimbing Stoke dan juga Ireland Utara sehingga ke playoff (jika layak), berharap untuk satu balas dendam ke atas Koeman selepas Koeman melabelkan taktik permainan Ireland Utara sebagai “teruk” dan “tidak enak ditonton” ekoran kemenangan 3-1 Belanda pada bulan Oktober.

Belanda beraksi tanpa penyerang Memphis Depay yang mengalami kecederaan dan Georginio Wijnaldum yang tidak sihat.

Walaupun mengawal permainan, Belanda tidak kelihatan mampu menembusi pertahanan Ireland Utara, yang turut memberikan ancaman dengan tandukan Josh Magennis sedikit tersasar.

Ireland Utara mendapat peluang keemasan untuk membuka jaringan pada minit ke-30 apabila bola umpanan McNair dikatakan terkena tangan Joel Veltman dalam kotak penalti.

Davis, yang membuat penampilan ke-116 untuk negaranya, bagaimanapun gagal melakukan tendangan kemas dan kegagalan itu menamatkan impian untuk kelayakan automatik ke Euro menerusi kedudukan dalam kumpulan.  — AFP

Advertisement