Anda di sini

165,928 orang daftar dapatkan pemeriksaan diabetes sehingga September 2019

Advertisement
 Dr Rosemawati ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Diabetes Sedunia di KTS Garden semalam.
AMANAT: Dr Rosemawati ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Diabetes Sedunia di KTS Garden semalam.

KUCHING: Sehingga September tahun ini, sejumlah 165,928 orang telah mendaftar untuk mendapatkan pemeriksaan diabetes di semua kemudahan kesihatan di sini, kata Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rosemawati Ariffin semalam.

Jumlah tersebut bagaimanapun kata beliau, tidak termasuk pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta di seluruh negeri.

“Pesakit diabetes yang telah mendapatkan rawatan di semua kemudahan kesihatan kerajaan sehingga September tahun ini adalah 51,041 kes di Kuching, Samarahan (10,165), Serian (8,056), Sri Aman (8,181), Betong (9,454), Sarikei (7,745), Sibu (20,795), Mukah (4,562), Kapit (5,102), Bintulu (11,395), Miri (23,256) dan Limbang (6,176).

“Menurut Kajian Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kelazimannya penyakit itu dalam kalangan orang di Malaysia adalah pada 17.5 peratus dan bagaimanapun statistik di Sarawak menunjukkan penurunan iaitu pada 14.8 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Diabetes Sedunia 2019 anjuran Diabetes Malaysia Cawangan Sarawak di KTS Garden, semalam.

Tegas beliau, walaupun kelaziman itu kurang di negeri ini, ia tidak bermaksud rakyat Sarawak berada di tahap selamat dan tidak akan menghidapi diabetes.

Trend mereka yang didiagnosis sebagai pesakit diabetes di negeri ini amat membimbangkan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar dan hanya sedikit jumlah mereka yang cuba mendapatkan rawatan, tambahnya.

Dr Rosemawati yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, fokus jabatan tahun ini adalah untuk menyebarkan kesedaran tentang komplikasi diabetes dan peranan yang dimainkan dalam institusi keluarga pesakit penting untuk menyediakan sokongan agar pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Saya amat berharap bahawa sektor swasta, organisasi dan agensi akan membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menjalankan kempen kesedaran diabetes dalam komuniti,” jelasnya.

Advertisement