Anda di sini

Tindakan tegas pemilik pinjam kereta kepada warga asing tidak berlesen

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah sehingga menyebabkan kemalangan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata pemilik kenderaan berdepan beberapa tindakan termasuk ditahan dan digantung lesen memandu serta akan dikenakan hukuman lebih berat sekiranya kenderaan milik mereka terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa kes kemalangan membabitkan pemandu warga asing meminjam kenderaan penduduk tempatan sehingga melibatkan kematian pengguna jalan raya lain.

Saya nak beri amaran tegas kepada pemilik kenderaan, mereka perlu bertanggungjawab sekiranya kenderaan mereka yang dipandu terlibat dengan kemalangan serta jangan sesekali meminjamkan atau membenarkan warga asing tanpa lesen sah memandu kenderaan anda.

“Sekiranya terlibat dengan kemalangan, pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan tegas seperti ditahan atau digantung lesen memandu. Selain itu, pemandu juga boleh didakwa mengikut kesalahan kanun jenayah iaitu dengan cuai mendatangkan kematian (jika sesuai). Kita memandang serius dengan kes-kes seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menjadi saksi Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut, SAC Che Zaimani Che Awang kepada ACP Soffian Santong yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baharu.

Zaimani dinaikkan pangkat dan berpindah ke Kontinjen Polis Kedah sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti manakala Soffian sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundangan Terengganu.

Baru-baru ini, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut dirempuh kereta dipandu seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk di Datuk Keramat, di sini.

Mangsa, Mohaidin Gani Mohamad, 59, yang merupakan Pembantu Kesihatan Awam MBPP maut di tempat kejadian akibat dirempuh kereta Honda Accord dipandu wanita tersebut. Turut dirempuh, sebuah kereta dan sebuah motosikal lain namun pemandu kereta dan penunggang motosikal tersebut tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Narenasagaran berkata polis akan menahan pemandu warga Vietnam yang merempuh pekerja syarikat pembersihan berhampiran Bangunan Persekutuan, Jalan Anson di sini, pagi kelmarin selepas wanita itu dibenarkan keluar daripada sebuah hospital swasta kerana menerima rawatan di situ akibat kemalangan berkenaan.

“Polis akan menahan dan mengambil keterangan wanita itu dan siasatan awal pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu Vietnam namun kami akan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung status lesennya. Ketika berlaku kemalangan, dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Dalam kemalangan 6.40 pagi kelmarin, mangsa, Mukhtar Bahari, 62, parah dan dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dirempuh kereta dipandu wanita Vietnam itu dan semasa kejadian mangsa yang juga pemandu lori sampah syarikat pembersihan sedang mencuci bahagian belakang kenderaan itu yang diparkir di bahu jalan. — Bernama

Advertisement