Anda di sini

Southgate panggil semula Sterling

Advertisement
SOUTHGATE
SOUTHGATE

PRISTINA: Gareth Southgate bakal membawa balik Raheem Sterling daripada buangan singkat daripada pasukan England untuk perlawanan kelayakan Euro 2020 pada hari ini (Ahad) menentang Kosovo dalam usaha untuk menamatkan kontroversi berhubung pergaduhan bintang Manchester City itu dengan Joe Gomez.

Sterling digugurkan untuk kemenangan besar 7-0 ke atas Montenegro pada Khamis lepas setelah dia bertelingkah dengan Gomez, rakannya dalam pasukan England, di kantin pusat latihan pasukan Three Lions.

Sterling dipercayai tidak gembira dengan Gomez selepas dia berkasar dengan pemain pertahanan Liverpool itu dalam kekalahan City di Anfield dalam Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu lepas.

Walaupun Sterling tidak diturunkan untuk perlawanan menentang Montenegro sebagai hukuman kerana melakukan serangan ke atas Gomez, Southgate mengesahkan pemain sayap itu akan kembali untuk perlawanan terakhir England dalam Kumpulan A.

Sterling dan Gomez, yang calar di bawah matanya selepas insiden itu, dikatakan sudah memulihkan hubungan mereka, tetapi pemain pertahanan tengah itu diejek oleh penyokong England di Wembley ketika dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Montenegro.

Southgate dan Sterling menyuarakan sokongan mereka kepada Gomez dan mengkritik penyokong yang mengejek, dan pengurus England itu dilaporkan menenangkan pemain berusia 22 tahun yang terkejut itu dan keluarganya selepas perlawanan.

Sekarang Southgate mungkin akan memasukkan Gomez bagi perlawanan menentang Kosovo untuk menunjukkan sokongan kepada pemain Liverpool itu.

Dengan England yang sudah dijamin layak ke Euro 2020 di tempat pertama dalam kumpulan mereka, Southgate sudah merancang untuk membuat perubahan, tetapi dia ingin sekali memastikan England menamatkan peringkat kumpulan dengan kemenangan dengan matlamat untuk menjadi antara pasukan pilihan dalam kelompok enam teratas di kejohanan pada tahun depan.

“Kita akan membuat beberapa perubahan, itu adalah pasti, tetapi ‘seeding’ dalam kumpulan mungkin amat penting dan kami tahu ia adalah malam yang penting bagi pasukan Kosovo,” kata Southgate.

“Sayangnya mereka kini terkeluar daripada bahagian kelayakan ini, tetapi mereka masih ada perlawanan peringkat play-off di mana saya rasa mereka akan menjadi ancaman yang amat besar dalam format itu.

“Jadi, ia pasti ujian yang bagus bagi kami ekrana ia tetap persekitaran yang rancak.

“Semangat untuk sukan ini adalah tinggi dan kita mahu menamatkan kumpulan dengan sebanyak mungkin mata.”

Kapten Liverpool Jordan Henderson mungkin akan kembali bermain selepas digantung satu perlawanan, manakala Southgate perlu memutuskan sama ada untuk terus menaruh kepercayaan kepada Ben Chilwell dan bukan Danny Rose di posisi pertahanan kiri.

Harry Kane mungkin telah menjaringkan hatrik ketika menentang Montenegro tetapi ia adalah Chilwell dari kelab Leicester yang dinamakan sebagai pemain terbaik England ekoran persembahan yang cemerlang di mana di membuat tiga bantuan untuk jaringan dalam masa 24 minit pertama.

“Ben, saya suka dengan kelaparan di dalam permainannya, semangat untuk maju ke depan,” kata Southgate.

“Seluruh pasukan menekan dengan baik tetapi dia juga menekan dengan baik dari posisi pertahanan, melarikan larian bertindih, kualiti penyampaiannya amat baik.”

Walaupun England sudah mara dengan mudah dari kumpulan kelayakan mereka, Southgate percaya pasukan separuh akhir Piala Dunia 2018 itu masih ada ruang untuk memperbaiki diri tatkala mereka memburu kejuaraan penting pertama mereka sejak 1966. — AFP

Advertisement