Anda di sini

Seramai 44 pelajar sertai Pertandingan Catur Terbuka

Advertisement
 Rohana (tiga kiri), Adinin (kanan) dan yang lain pada pertandingan catur di Limbang semalam.
CATUR TERBUKA: Rohana (tiga kiri), Adinin (kanan) dan yang lain pada pertandingan catur di Limbang semalam.

LIMBANG: Seramai 44 orang pelajar membabitkan lima buah sekolah rendah dan menengah menyertai Pertandingan Catur Terbuka sempena Perasmian Tapak Catur Gergasi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong di sini semalam.

Pelajar SMK Kubong, Ameyzan Khan merangkul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.

Manakala tempat kedua dimenangi Hazman Idris Shah dari SK Kuala Awang menggondol hadiah RM150 dan ketiga dimenangi Romeli Marzuki dari SMK Kubong membawa pulang RM100.

Pelajar dari SMK Limbang, Joshua Alexus Baja mendapat tempat keempat berserta wang tunai RM70 dan tempat kelima dimenangi  Mohd Fadhli Azhar Halim dari SMK Kubong meraih RM50.

Program itu dirasmikan oleh Ketua Cawangan Perlindungan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak, Rohana Isnawi.

Turut hadir Pengetua SMK Kubong Julkipli Tangah, Wakil Pegawai Pendidikan Limbang Zulkanean Akim, Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Daerah Limbang, Adinin Adol dan Penyelaras Program, Suzana Jumadil.

Antara sekolah mengambil bahagian ialah SK Kuala Awang, SK Merambut, SK St Edmund, SMK Limbang dan SMK Kubong.

Pertandingan itu memberi pendedahan permainan catur dan mencungkil strategi terbaik menguasai permainan catur, mendedahkan pelajar tanpa mengira umur atau gender bermain catur secara terbuka.

Justeru, menjadikan sukan catur sebagai sukan kebitaraan sekolah dan mencungkil bakat-bakat dan kemahiran bermain catur serta mencari pemain berbakat dalam sukan catur.

Advertisement