Anda di sini

Premis, pemain digesa promosikan sukan snuker

Advertisement
 Ding (tengah) melakukan simbolik perasmian Kejohanan Snuker Sibu Swan City di Sibu, malam kelmarin.
RASMI: Ding (tengah) melakukan simbolik perasmian Kejohanan Snuker Sibu Swan City di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Persatuan Sukan Snuker dan Billard Sarawak (SASA), pemilik premis snuker dan pemain snuker diseru bekerjasama untuk mempromosikan sukan snuker ke peringkat sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sukan snuker perlu digilap kepada pelajar-pelajar sekolah bagi melahirkan ramai bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.

"Kita perlu mencungkil bakat-bakat muda kalangan pelajar sekolah untuk membina kemahiran dan teknik bermain dengan lebih berkesan.

"Pergi ke sekolah-sekolah dan bercakap dengan pengetua sekolah tentang hajat kita itu.

"Apabila kita mempunyai ramai pelajar menyertai sukan ini, maka lebih mudah kita melahirkan pemain-pemain muda diyakini berpotensi besar dalam sukan snuker," katanya merasmikan Kejohanan Snuker Sibu Swan City di Pusat Snuker Executive 3 di sini malam kelmarin.

Hadir sama Pemilik Pusat Snuker Executive 3, Mark Yeo yang juga Presiden Kelab Rekreasi Sibu Swan City (SCRCS).

Ding mencadangkan agar masa sesuai serta ditetapkan untuk pelajar-pelajar menghadiri latihan snuker di pusat-pusat tertentu yang dipilih.

"Beri mereka (pelajar) harga istimewa dan dapatkan jurulatih untuk membimbing mereka. Siapa tahu, mereka akhirnya akan muncul sebagai generasi akan datang pemain atau juara masa depan dalam sukan snuker," jelasnya.

Beliau mengakui bahawa sukan itu masih tidak popular di negeri ini kerana pelbagai persepsi dan sekatan.

"Bagaimanapun, dengan komitmen dan tekad kuat ditunjukkan oleh penggiat sukan snuker terhadap acara ini, saya percaya dapat mencapai kejayaan dan membantu membina imej baharu untuk sukan ini," kata Ding.

Beliau berkata, untuk menaik taraf piawaian sukan itu adalah mustahak ada pertandingan.

"Dalam mana-mana sukan, pertandingan kompetitif adalah penting dan membentuk landasan terbaik pemain-pemain mengukur standard dan status mereka dalam sukan ini," katanya.

Ding turut bersetuju bahawa standard pemain-pemain di kawasan wilayah tengah masih kurang berbanding dengan pemain-pemain dari Kuching atau Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, beliau memuji SCRCS atas usaha berterusan menganjurkan begitu banyak pertandingan, tahun demi tahun hanya membantu mempromosikan standard permainan snuker.

Untuk rekod, Kejohanan Snuker Sibu Swan City ini dianjurkan secara bersama oleh empat anggotanya setiap suku tahun.

Selain Pusat Snuker Executive 3, tiga lagi penganjur bersama ialah Center Point Snooker Centre, Southern Point Snooker Centre dan Barco Snooker Centre.

Beliau juga berjanji membantu SCRCS melihat isu-isu dengan Persekutuan Sukan Snuker dan Biliard Sarawak (SBSSF) dalam usaha bersama mereka untuk mempromosikan sukan itu.

Pada majlis perasmian tersebut, Ding turut mengumumkan geran sejumlah RM5,000 untuk SCRCS menjalankan aktiviti tahunannya.

Advertisement