Anda di sini

Messi jaring gol tunggal kemenangan Argentina ke atas musuh ketat Brazil

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan persahabatan di antara Brazil dan Argentina di Stadium University King Saud di Riyadh. — Gambar AFP
PENUH SAINGAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan persahabatan di antara Brazil dan Argentina di Stadium University King Saud di Riyadh. — Gambar AFP

RIYADH: Lionel Messi menjaringkan gol selepas dia kembali menggalas tugas antarabangsa kelmarin setelah digantung selama tiga bulan untuk membantu Argentina menewaskan musuh ketat Brazil 1-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Riyadh.

Penyerang Barcelona itu digantung oleh CONMEBOL kerana menuduh badan bola sepak Amerika Selatan mengamalkan “rasuah” selepas dia dibuang dari padang dalam perlawanan play-off tempat ketiga pada Julai lalu menentang Chile di kejohanan Copa America.

Messi menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium Universiti Raja Saud dalam minit ke-13, apabila dia menolak masuk bola yang melantun balik setelah tendangan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Brazil Alisson.

Dia melakukan cubaan itu sejurus selepas penyerang Manchester City Gabriel Jesus gagal untuk menyempurnakan tendangan penalti bagi Brazil, yang bermain tanpa Neymar yang cedera.

Messi, yang menjaringkan gol menerusi dua tendangan penalti dalam perlawanan terakhirnya bersama Barcelona, dua kali mengancam dari situasi bola mati pada separuh masa kedua sebelum Alisson, penjaga gol Liverpool, menolak keluar rembatan kencang Leandro Paredes.

Rodrygo, pemain berusia 18 tahun yang menjaringkan hatrik sensasi dalam Liga Juara-Juara bersama Real Madrid pada bulan ini, membuat penampilan sulungnya bersama Brazil seleps dia menggantikan Willian untuk tempoh 20 minit terakhir.

Bagaimanapun Brazil tidak dapat menjaringkan gol penyamaan dan siri tanpa kemenangan mereka sejak mereka memenangi kejuaraan Copa America dilanjutkan kepada lima perlawanan.

“Ia adalah penting untuk menang dan ia sentiasa bagus untuk menewaskan Brazil, bagi perseteruan, yang rasa banyak kebelakangan ini,” kata Messi.

“Ia adalah bagus bagi segalanya yang akan datang, untuk terus berkembang sambil melihat ke arah perlawanan kelayakan dan Copa America seterusnya (pada 2020).”

Pertemuan di antara dua gergasi Amerika Selatan itu merupakan yang kedua di Arab Saudi dalam tempoh lebih setahun. Brazil menewaskan Argentina 1-0 di Jeddah pada Oktober 2018.

Brazil turut menewaskan Argentina 2-0 di tempat sendiri pada peringkat separuh akhir di Copa America pada tahun ini, satu perlawanan kontroversi yang mendorong Messi untuk mengadu bahawa pasukan tuan rumah mendapat manfaat daripada sikap pilih kasih.

Brazil akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan di Abu Dhabi pada 19 November, dalam perlawanan terakhir mereka sebelum perlawanan kelayakan Amerika Selatan bermula untuk Piala Dunia 2022 pada Mac tahun depan. — AFP

Advertisement