Anda di sini

Hoeness letak jawatan presiden Bayern Munich

Advertisement
 Hoeness sedih semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu. — Gambar AFP
SEDIH: Hoeness sedih semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu. — Gambar AFP

MUNICH: Selepas 40 tahun menggalas tugas, Uli Hoeness sebak apabila dia secara rasmi meletak jawatan sebagai presiden Bayern Munich kelmarin, dan pada waktu yang sama jurulatih sementara Hansi Flick disahkan akan terus memikul tanggungjawab “sekurang-kurangnya sehingga Natal”.

Hoeness berundur selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Adidad Herbert Hainer diundi untuk menjadi presiden baharu Bayern oleh ahli-ahli di mesyuarat agung tahunan kelab.

Bagaimanapun kejutan terbesar di Olympiahalle Munich berlaku apabila pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge menyatakan bahawa Flick akan terus memikul tanggungjawab untuk baki tahun 2019 “dan mungkin selepas itu”.

Flick, penolong jurulatih ketika Jerman memenangi Piala Dunia 2014, mengambil alih selakau pengurus sementara selepas Niko Kovac dipecat dua minggu lepas.

Flick, bekas penolong jurulatih Kovac, menyelia kemenangan 2-0 mereka di tempat sendiri ke atas Olympiakos untuk layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan baki dua perlawanan lagi.

Dia turut menggalas tugas bagi kemenangan 4-0 ke atas Dortmund pada Sabtu lalu yang menjulang Bayern ke tempat ketiga dalam liga, empat mata di belakang pendahulu Moenchengladbach.

Flick akan terus menjadi pengurus sementara untuk lapan perlawanan akan datang – dua daripadanya di Eropah – sehingga Bundesliga berehat untuk musim salji pada 22 Disember.

“Saya menyebut ini dengan keyakinan: kami percaya kepada Hansi Flick,” kata Rummenigge.

Jurulatih Ajax Erik ten Hag, jurulatih Paris Saint-Germain Thomas Tuchel dan malah bekas pengurus Bayern Pep Guardiola, yang mengikat kontrak dengan Manchester City sehingga Jun 2021, telah dikaitkan dengan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, malam di Munich itu adalah milik Hoeness.

Dua bekas bintang Bayern, Arjen Robben dan Franck Ribery, yang membantu memenangi kejuaraan ‘treble’ pada 2013 iaitu Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara, kembali untuk menyampaikan hadiah perpisahan kepadanya.

Laungan “Uli Hoeness, Uli Hoeness!” bergema apabila Hoeness dengan sebak memberitahu hadirin: “Itulah dia. Saya sudah selesai. Terima kasih.”

Di bawah teraju Hoeness, Bayern memenangi 24 kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman sebanyak 14 kali, selain menjulang piala Liga Juara-Juara pada 2001 dan 2013, sejak 40 tahun lalu. — AFP

Advertisement