Anda di sini

Hari buruk Halilhodzic selaku jurulatih Maghribi berterusan

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika Kumpulan E di antara Mauritania dan Maghribi di Rabat. — Gambar AFP
RANCAK: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika Kumpulan E di antara Mauritania dan Maghribi di Rabat. — Gambar AFP

JOHANNESBURG: Permulaan yang buruk bagi Vahid Halilhodzic dari Bosnia selaku jurulatih Maghribi berterusan kelmarin apabila pasukan negara yang menduduki ranking lebih rendah Mauritania mengikat mereka untuk keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika di Rabat.

Maghribi menduduki ranking ke-42 di dunia, 63 tempat di atas Mauritania, dan kebuntuan itu bermakna Halilhodzic memperolehi hanya satu sahaja kemenangan daripada lima perlawanan sejak dia menggantikan tempat Herve Renard tiga bulan lalu.

Dalam perlawanan pemanas badan di tempat sendiri di tempat sendiri untuk Piala Negara-Negara, pasukan Atlas Lions menewaskan Niger, diikat oleh Burkina Faso serta Libya dan tewas kepada Gabon.

Renard dari Perancis dua kali gagal untuk membawa trofi Piala Negara-Negara ke Maghribu, yang menikmati kejayaan tunggal dalam pertandingan pasukan kebangsaan Afrika yang utama itu 43 tahun lalu di Habsyah.

Halilhodzic menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai 80,000 euro (RM384,000) sebulan dan syaratnya termasuk Maghribi mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara 2021 di Cameroon.

Kegagalan untuk mengatasi Mauritania, yang bertanding di kejohanan itu buat pertama kali pada tahun ini, membayangkan usaha yang gigih berada di depan bagi bekas pengurus Ivory Coast dan Algeria yang berusia 67 tahun itu.

Sementara itu Tunisia, yang menduduki tempat keempat di kejohanan 2019 di Mesir, membuat penampilan yang meyakinkan dalam Kumpulan J apabila mereka menewaskan pasukan negara jiran utara Afrika Libya 4-1 di Rades dekat Tunis.

Beberapa pemain dari kelab Ligue 1 di Perancis melakukan kerosakan apabila Wahbi Khazri dari Saint-Etienne dan Saif-Eddine Khaoui dari Marseille masing-masing menjaringkan dua gol.

Khazri gagal untuk menyempurnakan tendangan penalti sebelum dia meletakkan pasukan Carthage Eagles di depan pada minit ke-35 dam Khaoui menggandakan kelebihan itu sebelum Hamdou Elhouni mengurangkan defisit dalam masa tambahan pada separuh masa pertama.

Khaoui menjaringkan gol keduanya lapan minit selepas babak kedua bermula dan Khazri melengkapkan kemenangan pada minit terakhir.

Tunisia mendahului berdasarkan kelebihan gol ke atas Tanzania, yang mengatasi Equatorial Guinea 2-1 di Dar es Salaam hasil jaringan dalam masa tambahan oleh pemain berusia 35 tahun Salum Abubakar.

Bekas pemain tengah West Ham United Pablo Obiang meletakkan pasukan Equatoguineans awal di depan yang mereka pertahankan sehingga minit ke-68 apabila Simon Msuva menjaringkan gol.

Equatorial Guinea bermain buat kali pertama di bawah jurulatih dari Perancis Sebastien Migne yang meninggalkan Kenya selepas mereka tersingkir pada pusingan pertama dari Piala Negara-Negara 2019.

Di Harare, Zimbabwe mendominasi permainan dan padang dalam perlawanan menentang Botswana tetapi tidak dapat membuka pertahanan pasukan pelawat Zebras yang teratur dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam Kumpulan H. — AFP

Advertisement