Anda di sini

Finland layakkan diri untuk kejohanan pertama mereka

Advertisement
 Pasukan Sweden meraikan kejayaan mereka menumpaskan Romania 2-0 pada aksi kelayakan Euro 2020 Kumpulan F di Bucharest, Romania. — Gambar Reuters
KENANGAN MANIS: Pasukan Sweden meraikan kejayaan mereka menumpaskan Romania 2-0 pada aksi kelayakan Euro 2020 Kumpulan F di Bucharest, Romania. — Gambar Reuters

PARIS: Finland melayakkan diri untuk kejohanan penting yang pertama dalam sejarah mereka kelmarin dengan kemenangan 3-0 ke atas Liechtenstein manakala Sweden menjamin tempat mereka di kejohanan akhir Euro 2020 selepas mencatatkan kemenangan di Romania.

Penyerang Norwich City Teemu Pukki menjaringkan dua gol di Helsinki dan Jasse Tuominen turut menyumbat satu gol untuk menyaksikan penonton tuan rumah membanjiri padang selepas wisel penamat apabila Finland menduduki tempat kedua di belakang pemenang Kumpulan J Itali.

Itali bimbingan Roberto Mancini mencipta rekod dengan kemenangan ke-10 berturut-turut apabila mereka dengan mudah mengatasi Bosnia dan Herzegovina 3-0 di Zenica.

Francesco Acerbi, Lorenzo Insigne dan Andrea Belotti menjaringkan gol untuk Itali, yang sudah bangkit dengan mengagumkan selepas gagal untuk layak ke Piala Dunia pada tahun lepas buat pertama kali sejak 1958.

“Mancini telah menjalankan tugas yang amat baik, dia telah memberikan idea yang jelas kepada kami dalam tempoh yang singkat. Kami bangga dengan rekod 10 kemenangan berturut-turut tetapi objektif kami dan impian kami sejujurnya adalah lain,” kata Belotti.

Bosnia dijamin tempat pada peringkat play-off selepas mereka menduduki tempat teratas kumpulan mereka dalam Liga Negara-Negara UEFA pada tahun lepas.  

Sweden layak untuk Kejohanan Eropah keenam berturut-turut selepas kejayaan 2-0 di Bucharest yang menyingkirkan Romania.

Marcus Berg dan Robin Quaison menjaringkan gol-gol pada separuh masa pertama untuk Sweden yang menduduki tempat kedua di belakang pemenang Kumpulan F Sepanyol, untuk meninggalkan Romania dengan harapan bagi tempat pada peringkat play-off.

Berg menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Emil Forsberg untuk meletakkan Sweden di depan pada minit ke-18 dan kemudian menjadi pengumpan apabila dia mengawal bola untuk dirembat oleh Quaison bagi menggandakan kelebihan.

Tujuh pemain yang berlainan menemui sasaran bagi Sepanyol yang sudah layak dalam kemenangan 7-0 ke atas Malta di Cadiz.

Alvaro Morata membuka jaringan pada minit ke-23 sebelum bekas pemain tengah Arsenal Santi Cazorla menjaringkan gol antarabangsa pertamanya dalam tempoh empat tahun.

Pau Torres, dua pemain gantian Pablo Sarabia dan Dani Olmo, Gerard Moreno dan Jesus Navas melengkapkan kemenangan besar untuk memastikan tempat teratas bagi Sepanyol.

Penyokong Sepanyol memberi penghormatan kepada Sergio Ramos dengan mozek gergasi bagi pemain pertahanan itu yang pada bulan lepas memecah rekod yang sebelum itu dipegang oleh Iker Casillas bagi penampilan paling banyak bersama pasukan kebangsaan.

“Saya sangat gembira. Mana ada cara yang lebih baik untuk saya ucapkan terima kasih bagi penghormatan ini daripada kemenangan dengan begitu dominan dan mempamerkan permain bola sepak yang begitu bagus?” kata Ramos, yang membuat penampilan ke-169 untuk negara kelmarin.

“Kegembiraan saya dua kali ganda, pada tahap peribadi dan kumpulan.”

Alexander Sorloth menjaringkan dua gol untuk Norway dalam kemenangan 4-0 ke atas Faroe Islands. Tore Reginiussen dan Iver Fossum menjaringkan gol-gol lain di Oslo untuk pasukan tuan rumah yang akan bermain pada peringkat play-off.

Denmark memerlukan keputusan seri dalam perlawanan terakhir mereka menentang Republik Ireland selepas memusnahkan Gibraltar 6-0.

Christian Eriksen dan Robert Skov masing-masing menjaringkan dua gol di Copenhagen dengan Martin Braithwaite dan Christian Gytkjaer turut menyumbat gol.

Switzerland menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D di belakang Denmark selepas kemenangan 1-0 yang meresahkan ke atas Georgia hasil tandukan lewat daripada pemain yang membuat penampilan sulung Cedric Itten.

“Saya masih sedikit terkejut,” kata Itten. “Untuk menjaringkan gol pada penampilan sulung saya di sini di St Gallen adalah satu impian yang menjadi kenyataan.” — AFP

Advertisement