Anda di sini

Tumpuan tubuh Taska di hospital, balai polis tahun hadapan: Hannah Yeoh

Advertisement
 Hannah Yeoh berucap pada sesi dialog bersama ahli-ahli Majlis Wanita Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.  — Gambar Bernama
BERUCAP: Hannah Yeoh berucap pada sesi dialog bersama ahli-ahli Majlis Wanita Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kira-kira 200 taman asuhan kanak-kanak (Taska) akan diwujudkan tahun hadapan dengan tumpuan lokasi di hospital dan balai polis, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Fokus diberikan kepada kedua-dua lokasi berkenaan kerana sebahagian besar jururawat dan golongan wanita yang bekerja secara syif amat memerlukan kemudahan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Yeoh yang terdahulu menghadiri sesi dialog Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama 164 ahli majlis wanita pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata pembinaan 200 taska berkenaan adalah melalui peruntukan RM30 juta yang disediakan di bawah Belanjawan 2020.

Menurutnya, 66 taska ditubuhkan di pejabat kerajaan pada tahun ini setakat ini di bawah Belanjawan 2019 yang memperuntukkan RM10 juta.

Mengenai isu institusi keluarga, Yeoh berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan meningkatkan kursus ‘grand-parenting’ untuk golongan datuk dan nenek pada tahun hadapan bagi meningkatkan kepekaan mereka mengenai bahaya media sosial termasuk kepada kanak-kanak.

“Ini kerana kesedaran golongan warga emas mengenai risiko dan bahaya dunia siber agak rendah,” katanya.

LPPKN juga akan memperkasakan ‘Modul Cakna Diri’  dalam program pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial bagi membendung gejala kehamilan remaja, pembuangan bayi dan perkahwinan bawah umur di sekolah terpilih pada tahun hadapan, katanya.  

“Program ini tidak hanya memberi tumpuan untuk mendidik remaja wanita supaya menjaga diri masing-masing tapi turut melatih remaja lelaki supaya menghormati golongan wanita.

“Program memberikan fokus untuk mendidik golongan lelaki dari usia remaja lagi bahawa hubungan seks bersama seorang remaja perempuan yang masih di bawah umur adalah satu kesalahan undang-undang,” katanya. — Bernama

Advertisement