Anda di sini

PRN12, GPS mesti menang - Abang Jo

Advertisement
Abang Johari bersama pemimpin GPS yang lain melafaz ikrar setia pada penanguhan Konvensyen GPS di BCCK, hari ini.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti menang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijadual berlangsung pada tahun 2021. 

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pilihan raya negeri yang akan datang adalah penting untuk GPS. 

"Kita ada agenda yang lebih  besar selepas pilihan raya.

"Kita mungkin menjadi negeri terkuat di Malaysia, mungkin juga negara bergantung kepada kita. 

"Tetapi kita mesti menang, jangan kalah dengan David Copperfield (merujuk PH)," katanya ketika berucap menangguhkan Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. 

Dari sudut pimpinan, Abang Johari yang juga Ketua Menteri berkata pemimpin bertukar ganti dan masanya akan tiba untuk beliau memberi laluan kepada orang lain. 

“Bila pilihan raya saya juga tidak tahu, tetapi kita mesti sedia pertahankan hak dan negeri kita. 

“Ini amanah kita, kalau kita sayang negeri ini, kita mesti kerja kuat dan pertahankan Sarawak sebelum dikuasai orang lain,” katanya. 
 
Bercakap mengenai konvensyen tersebut, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata ia telah dapat memberi gambaran bagaimana GPS bangunkan negeri ini dengan acuan sendiri.

Selain mengupas mengenai hal tanah dan ekonomi, konvensyen semalam turut mengupas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Sasaran kita adalah untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030 dibawah Kerajaan Sarawak yang dipilih dari kalangan orang Sarawak sendiri,” katanya. 

Dalam pada itu konvensyen hari ini merupakan yang pertama selepas penubuhan GPS dan susulan daripada penubuhan GPS di peringkat zon-zon. 

Sekitar 5,000 perwakilan hadir pada konvensyen tersebut dari empat parti komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). 

Turut hadir, Presiden PRS, Tan Sri James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri, Presiden SUPP, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.  
 

  • oleh
  • Advertisement