Anda di sini

PKR Miri masih tunggu surat kelulusan MPN

Advertisement
 

MIRI: PKR Cabang Miri yang menjadi tuan rumah konvensyen peringkat negeri pada Sabtu ini, masih menunggu surat kelulusan daripada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berhubung perkara itu. 

Jurucakap dari Pejabat PKR Miri, memberitahu ketuanya yang juga Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo dalam sidang akhbar di Petaling Jaya (PJ) semalam sudah mengesahkan Konvensyen PKR Negeri yang dijadualkan berlangsung di Miri pada Sabtu ini, 23 November, diteruskan dan kini pihaknya masih menunggu surat kelulusan tersebut. 

Beliau yang dihubungi Utusan Borneo di sini, hari ini, bagi mendapatkan program sempena konvensyen selama sehari itu, berkata pihaknya belum dapat program rasmi kerana masih menunggu surat daripada MPN Sarawak.

"Saya masih lagi menunggu surat kelulusan daripada MPN Sarawak, termasuk juga program pada hari itu kelak," katanya sambil berharap akan mendapat surat berkenaan secepat yang mungkin, bagi melancarkan acara tersebut kelak. 

Menurut beliau, meskipun Miri sebagai tuan rumah konvensyen namun programnya dianjur dan diuruskan oleh MPN Sarawak. 

PKR Miri, menjangkakan seramai 1,000 delegasi akan hadir kelak, dengan pendaftaran peserta konvensyen akan dibuat pada hari yang sama, 23 November ini, bertempat di Hotel Pullman Miri, termasuk untuk semua media yang membuat liputan. 

Sementara itu, Dr Teo dalam kenyataan akhbarnya semalam, yang disiarkan di laman Fecebook miliknya, memberitahu PKR Miri akan meneruskan konvensyen tersebut seperti yang dijadualkan, walaupun pengumuman pembatalan telah dibuat oleh MPN terdahulu sebelum itu. 

"Ini kerana kami telah membuat persediaan yang perlu dan ahli-ahli juga telah dimaklumkan oleh notis yang diedarkan bertarikh seawal 12 November 2019 dan disusuli mesyuarat semalam (pada Khamis) dengan Vernon Kedit sebagai wakil rasmi MPN.

"Kami dimaklumkan bahawa sesetengah ahli telah membuat perancangan membeli tiket, menempah penginapan, pengangkutan dan pembatalan acara itu di saat-saat akhir bukan sahaja tidak adil kepada ahli-ahli, tetapi juga memberi kesan buruk kepada parti," katanya sambil menyifatkan tindakan yang dibuat oleh MPN Negeri adalah amat tidak profesional. 

"Sebagai kesimpulan, kami telah memutuskan untuk meneruskan program ini di Miri, pada 23 November 2019 bertempat di Hotel Pullman Miri, dengan restu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengarah konvensyen negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad," tambah Dr Teo lagi.

Difahamkan beliau akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan persiapan akhir untuk konvensyen itu kelak, pada Isnin ini.

  • oleh
  • Advertisement