Anda di sini

Penganggur didakwa bunuh ibu kandung

Advertisement
 Penganggur Mohd Ridzuan dibawa keluar oleh anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret dekat Kuantan, semalam, atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh, di rumah mereka pada Selasa lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Penganggur Mohd Ridzuan dibawa keluar oleh anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret dekat Kuantan, semalam, atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh, di rumah mereka pada Selasa lepas. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh, di rumah mereka di sini pada Selasa lepas.

Tertuduh Mohd Ridzuan Mustafa, 38, sekadar mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mohd Ridzuan didakwa membunuh Sefiah Hamid, 62, antara jam 8.40 pagi hingga 10.30 pagi, 12 Nov lepas di sebuah rumah di Taman Kampung Padang di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam.

Nordiana memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor dan menetapkan 17 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan mental tertuduh.

Media pada Selasa lepas, melaporkan seorang lelaki yang dipercayai menghidap masalah mental telah menikam leher ibunya sehingga maut, sebelum membawa jenazah wanita itu yang diletakkan di atas kerusi roda keluar dari rumah.

Suspek dikatakan menolak kerusi roda itu sejauh 50 meter sebelum kejadian itu disedari sekumpulan penduduk yang sedang bersarapan di kedai kopi. — Bernama

Advertisement