Anda di sini

Pelancong maut terjatuh ketika swafoto di air terjun Thailand

Advertisement

BANGKOK: Seorang pelancong Perancis maut selepas terjatuh dari sebuah kawasan air terjun di Thailand ketika cuba mengambil swafoto, kata polis semalam.

Kemalangan berlaku pada tengah hari kelmarin di pulau tropika Koh Samui, yang pantai-pantainya yang dibarisi dengan pokok palma dan berpasir putih merupakan satu tarikan bagi pengembara dan pelancong mewah.

Lelaki berusia 33 tahun itu terjatuh dari air terjun Na Mueang 2, tempat yang sama di mana seorang pelancong Sepanyol meninggal dunia akibat terjatuh pada Julai lepas, Leftenan Phuvadol Viriyavarangkul dan polis pelancong di pulau tersebut memberitahu AFP.

“Kami mengambil masa selama beberapa jam untuk mengeluarkan mayatnya kerana kawasan air terjun yang licin dan curam,” kata beliau melalui panggilan telefon, sambil menambah bahawa tempat kejadian telah ditutup dan terdapat satu papan tanda memberikan amaran kepada pelancong mengenai bahaya.

“Rakannya menyatakan dia telah cuba mengambil swafoto dan kemudian tergelincir serta terjatuh.”

Thailand dianggap sebagai satu destinasi selamat untuk pelancong dan secara tipikalnya menarik lebih 35 juta  pelawat setiap tahun.

Namun industri tersebut menerima pukulan pada 2018 selepas sebuah feri membawa pelancong China di bahagian selatan negara telah karam pada tahun lepas, mengorbankan 47 orang.

Kemalangan itu menonjolkan peraturan keselamatan yang tidak tegas dalam sektor pelancongan dan pihak berkuasa telah berusaha keras untuk mengembalikan imej negara sejak itu. — AFP

Advertisement