MELAKA: Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting dalam dasar China pada Dinasti Ming dalam membentuk persahabatan, kedamaian dan perdagangan melalui misi diplomatiknya pada abad ke-15 termasuk bersama Kesultanan Melayu Melaka.
Ahli sejarah dan akademik berpendapat China pada masa itu mempunyai sumber terutama tentera, senjata dan kapal untuk melakukan penjajahan seperti dilakukan pelayar Barat, namun memilih menjalin persahabatan bagi kemakmuran bersama dengan Cheng Ho sebagai diplomatnya.
Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata dalam tempoh antara 1405 hingga 1433, Cheng Ho melakukan tujuh pelayaran dengan antara 41 hingga 317 kapal, dan antara 27,550 hingga 30,000 pelayar.
Katanya angkatan itu dilihat besar amat malah mampu menjajah Melaka, namun China memilih sebaliknya dengan Cheng Ho ditugaskan menjalankan misi diplomasi yang memberi kesan signifikan terutama kepada perdagangan, kebudayaan, penyebaran Islam dan hubungan antarabangsa sehingga ke hari ini.
“Pelayaran Cheng Ho ialah misi diplomatik dan perdagangan, berbanding misi Barat yang berakhir dengan peperangan, pertumpahan darah dan penjajahan. Terang bahawa Cheng Ho telah melaksanakan misi persahabatan, perdamaian dan penghormatan dinasti China kepada negara atau kerajaan lain.
“Inilah semangat yang patut menjadi landasan inisiatif Jalur dan Laluan digagaskan China dan melibatkan 124 buah negara sedunia. Cheng Ho telah mendukung asas semangat itu,” katanya pada Seminar Antarabangsa Cheng Ho di sini yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam.
Menjawab soalan Bernama tentang adakah China melihat Kesultanan Melayu Melaka sebagai rakan kongsi penting, Awang berkata China memandang hebat kerajaan Sriwijaya sekitar abad ke-7 dan Melaka mengambil alih peranan itu dengan pengasasnya Parameswara berketurunan daripada Sriwijaya.
“Jika disemak kamus China terdapat senarai perkataan Melaka, yang mana Melaka menjadi wakil alam Melayu iaitu sekitar 80 peratus alam Melayu itu di dalam empayar Melaka,” katanya.
Sementara itu, Dekan Institut Penyelidikan Jalan dan Laluan (Shenzhen) bagi Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa Prof Tao Yi Tao berkata China melihat Kesultanan Melayu Melaka sebagai rakan penting kerana lokasinya yang strategik khususnya dalam Laluan Sutera Maritim dan dengan itu langkah menghantar Cheng Ho ke Melaka merupakan langkah penting.
“Melaka melihat China sebagai penting, dan juga jangan lupa bahawa China turut melihat Melaka sebagai sahabat yang penting. Cheng Ho memainkan peranan amat penting dalam usaha meningkatkan hubungan, kebudayaan dan ekonomi antara dua negara yang telah menjalin hubungan sejarah sejak sekian lama sehingga sekarang.
“Hubungan kukuh antara China dan Malaysia yang dinikmati kini telah diasaskan oleh China dan Melaka pada zaman itu yang telah mewujudkan peluang bagi pasaran perdagangan, pertukaran kebudayaan dan banyak lagi pada masa depan antara kedua-dua negara,” katanya menjawab soalan Bernama tentang betapa pentingnya Melaka di mata China.
Tao berkata Laluan Sutera sebagai laluan perdagangan telah sentiasa menjadi ciri asas ekonomi pasaran serantau dan kewujudan laluan itu telah menyediakan pasaran bersama dari segi fizikal dengan perkongsian nilai-nilai yang lebih meluas dan lebih memberi kesan.
“Bagi sebuah komuniti yang telah mengalami banyak perubahan dalam persekitarannya, pembangunan terangkum berasaskan perkongsian budaya akan memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan taraf kehidupan pesertanya,” katanya.
Prof Madya Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Surabaya, Indonesia, Choirul Mahfud berkata dari Asia hingga ke Eropah, Cheng Ho dikenali sebagai simbol persahabatan China bersama dunia dalam masa sama mempromosi kemakmuran bersama melalui konsep inisiatif Jalur dan Laluan.
Beliau berkata menjadi cabaran bagi memahami dengan lebih mendalam mengenai legasi laluan Cheng Ho di Nusantara bagi mencapai kemakmuran bersama terutama dari segi pembangunan mampan kawasan yang terlibat.
“Secara positifnya daripada legasi Cheng Ho kita boleh belajar terutama bagi menambah nilai bidang ketamadunan maritim dan kesannya dalam komuniti daripada era ke era,” katanya. — Bernama