Anda di sini

Karmaine, Wee selesai tunai tanggungjawab mengundi

Advertisement
Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mencelup jarinya ke dalam dakwat kekal ketika mengundi di SJK (C) Yu Ming 1 & 2, Pekan Nanas hari ini. - Gambar Bernama

PONTIAN: Dua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai selesai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar di Parlimen tersebut, dengan menjadi antara yang paling awal mengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memakai kemeja putih tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang, dekat sini, kira-kira pukul 7.45 pagi dan beliau ditemani adik lelakinya Safeei Sardini.

Sejurus tiba di lokasi, Karmaine terus memasuki bangunan sekolah itu dan menuju ke saluran 2 untuk menunaikan tanggungjawabnya mengundi.

Ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi kira-kira pukul 8.05 pagi, Karmaine berkata sebagai calon, perasaannya amat berdebar menunggu keputusan PRK itu yang akan diumumkan malam ini.

Sementara itu, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 dan 2 di Pekan Nanas, pada pukul 7.40 pagi.

Beliau yang mengundi di Saluran 4 dan isteri, Datin Seri Lim Joo Hon (Saluran 6) selesai mengundi pada pukul 8.10 pagi.

Katanya beliau bangun seawal 5 pagi bagi mempersiapkan diri untuk hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain mengakui perasaannya teruja sama seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas.

Hari ini, seramai 52,471 pengundi dalam Parlimen Tanjung Piai akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu, selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu yang mewakil Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, Wee, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Empat lagi calon bukan pengundi bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai.

PRK berkenaan merupakan pilihan raya kesembilan sejak PRU14 pada Mei tahun lepas.

Pada Selasa lepas, sebanyak ​​​​​​91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Daripada keseluruhan pusat mengundi yang dibuka, 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas manakala 16 lagi di DUN Kukup. - Bernama
 

Advertisement