Anda di sini

Jadikan kekalahan BN pengajaran untuk kita -Tiong

Advertisement
Tiong berucap pada majlis Konvensyen GPS 2019 di sini, hari ini.

KUCHING: Pemimpin Parti Gabungan Sarawak (GPS) harus melakukan perubahan dan menjadikan kejatuhan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai pengajaran.

Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Sri Tiong King Sing yang memberitahu, kerajaan GPS patut mengamalkan kepimpinan terbuka dengan mendengar sumber yang boleh dipercayai.

Kata Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS itu, masih terdapat segelintir pemimpin di negeri berasa berpuas hati dan selesa dengan jawatan dan tanggungjawab mereka.  

Tambahnya, sifat angkuh, sombong dan tidak turun ke akar umbi merupakan sikap lama yang jelas dilihat hari ini yang ada pada pemimpin yang diberikan kepercayaan oleh rakyat.

“Jangan fikir kita tak boleh jatuh. Sebuah kerajaan yang kukuh dan memerintah selama hampir 600 tahun iaitu Empayar Othmaniah jatuh sekelip mata gara-gara tidak menangani isu dalaman dengan berkesan.

“Kerajaan BN yang memerintah enam dekad juga jatuh sekelip mata hanya kerana kelemahan dan lalai mentadbir negara, dan menyelesaikan semua permasalahan rakyat,” katanya pada majlis Konvensyen GPS 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Jelas Tiong lagi, pemimpim GPS perlu mendengar suara rakyat akar umbi dan pergi ke akar umbi.

Pada masa sama beliau memberitahu, Sarawak sudah berhijrah ke suatu platform politik yang baharu dengan pembentukan GPS.

"Bagi saya, inilah hikmah terbesar di sebalik kekalahan teruk yang dialami oleh gabungan parti kita terdahulu. Namun persoalannya, sejauh mana individu yang berada di dalam GPS ini sudah benar-benar berubah kah? Ataupun mereka masih dengan mentaliti, budaya kerja yang lama dan di buai mimpi serta 'syok' sendiri? 

"Inilah persoalan sebenar yang perlu kita tanya kepada diri sendiri!," jelasnya lagi.

Malah, beliau turut melahirkan rasa sedih apabila ada di kalangan pemimpin yang terlalu memikirkan populariti dan selalu mahu mengambil kredit walaupun bukan dalam bidang tugasnya. 

"Tugas sebenar dia, dia buat tak tau. Malah ada juga pemimpin kita yang hanya mahu mendapat laporan yang cantik dan bersih dari peringkat akar umbi untuk dilaporkan kepada pimpinan walaupun laporan tersebut palsu semata-mata kerana meraka mahu nama mereka sentiasa harum di mata pemimpin," katanya.

Justeru, beliau menyeru sebagai sebuah gabungan baharu perlu membuktikan kepada rakyat bahawa GPS bentang untuk Sarawak. 

Katanya lagi, diharapkan GPS akan mengamalkan budaya konsensus, perkongsian kuasa dan menghormati antara satu sama lain dalam mentadbir negeri ini.

"Sebuah parti yang besar tak boleh anggap mereka akan kuat selamanya. Mereka seolah-olah dominasi segalanya. Pandangan ikhlas dari parti kecil tak mahu didengar. Akibatnya, bila kalah terus menjadi lemah dan ramai ahli meninggalkan parti kerana tidak yakin dengan pemimpin. Adakah sejarah tersebut harus berulang di negeri Sarawak yang dicintai ini?," soalnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement