Anda di sini

Henry dilantik menjadi jurulatih Montreal Impact di MLS

Advertisement
HENRY
HENRY

MONTREAL: Bekas bintang Arsenal Thierry Henry kelmarin dilantik untuk menjadi jurulatih di francais Liga Bola Sepak Utama (MLS) Montreal Impact selepas dia menandatangani kontrak selama dua tahun untuk mendapatkan peluang baharu dalam bidang pengurusan selepas mengalami kegagalan di Monaco.

“Selamat datang ke Montreal @ThierryHenry!” kelab MLS itu menulis dalam Twitter.

Henry, yang memulakan karier sebagai pengurus yang berakhir dengan pemecatan oleh kelab Perancis, Monaco, pada Januari lalu, akan membimbing Impact untuk minimum dua musim.

“Henry menandatangani kontrak selama dya tahun, dengan pilihan untuk 2022,” kata kelab itu dalam laman sesawangnya.

Henry, 42, yang membantu Perancis memenangi Piala Dunia pada 1998, biasa dengan MLS, selepas dia bermain dari 2010 hingga 2014 bersama pasukan New York Red Bulls.

Dia menjaringkan 51 gol dan memberi 42 bantuan gol dalam 122 perlawanan bersama kelab itu.

“Ia adalah satu penghormatan untuk membimbing Montreal Impact dan kembali ke MLS,” kata Henry. “Ia adalah liga yang sangat kenali, di mana saya menikmati beberapa waktu yang sangat bagus.

“Saya sentiasa mengintai kelab ini dan sekarang saya di sini.”

Henry menjadi jurulatih ketujuh Montreal Impact dalam tempoh hanya lapan tahun sahaja, selepas dia menggantikan Wilmer Cabrera dari Colombia, yang menjadi pemangku jurulatih selama dua bulan ekoran pemecatan jurulatih Perancis Remi Garde pada Ogos lalu setelah 10 bulan menggalas tugas.

Henry mencipta nama sebagai pemain kelas dunia di Arsenal di mana dia menjaringkan 228 gol dalam 377 penampilan, untuk menjadikannya penjaring gol terbanyak kelab Inggeris itu.

Selepas memenangi Piala Dunia di bumi sendiri pada 1998, dia bermain dalam tiga Piala Dunia lagi pada 2002, 2006 dan 2010.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi Perancis dengan 51 gol dalam 123 perlawanan, di depan Michel Platini. — AFP

Advertisement