Anda di sini

Dua anggota ‘Geng Fahmi’ terbabit 14 kes samun ditahan

Advertisement
 Osman Mamat (tiga tengah) menunjukkan gari dan gambar suspek yang menyamar anggota polis untuk melakukan samun dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping semalam.  — Gambar Bernama
TUNJUK: Osman Mamat (tiga tengah) menunjukkan gari dan gambar suspek yang menyamar anggota polis untuk melakukan samun dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping semalam. — Gambar Bernama

TAIPING: ‘Geng Fahmi’ yang aktif menyamun dengan menyamar sebagai polis sejak awal tahun ini, tumpas dengan penangkapan dua anggotanya termasuk seorang anggota tentera berpangkat koperal pada akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Tai-ping ACP Osman Mamat berkata anggota tentera yang lari daripada tugas lebih tiga bulan itu dikenali sebagai Andy berusia lingkungan 30-an ditahan di Jalan Istana Larut pada 10 pagi, 31 Oktober manakala rakannya dikenali Emie Toyol, 30-an ditahan di tepi Jalan Lorong Indah 1, Simpang pada 12.45 tengah malam, 27 Oktober lepas.

Kedua-dua mereka ditahan menerusi Ops Rentap Khas Geng Fahmi yang dijalankan mulai 11 Oktober sehingga 11 November lepas khusus untuk memburu anggota kumpulan itu, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini semalam.

Katanya, siasatan mendapati geng itu telah terlibat dengan 14 kes samun dengan menyamar sebagai polis, memecah rumah, kedai dan tokong serta mencuri kenderaan di tiga daerah iaitu Taiping, Kerian dan Tapah.

“Modus operandi kumpulan itu menyasarkan mangsa yang  berseorangan lalu meminta mangsa menye-rahkan wang dan barang berharga sebelum melarikan diri,” katanya.

Osman berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z, satu unit gari, sehelai jaket keselamatan polis, satu topi berlogo polis, heroin seberat tiga gram, tiga bilah pisau, dua topi keledar, dua sarung muka, dua batang pemutar skru dan sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata ketua ‘Geng Fahmi’ yang dikenali sebagai Mohamad Fahmi Shaafie, 31, daripada FELDA Ijok, Selama, masih bebas.

Katanya, Mohamad Fahmi mempunyai 12 rekod lampau jenayah dan dadah manakala Andy mempunyai satu rekod dadah dan Emie Toyol dengan tujuh rekod dadah dan jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

 Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping, di sini, kelmarin manakala orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamad Fahmi diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement