Anda di sini

BN tawan kembali Tanjung Piai

Advertisement
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kanan) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim malam ini. Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi. - Gambar Bernama

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal  daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi  mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara  calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Daripada jumlah 38,815 undi yang diterima, 595 undi ditolak manakala 30 undi tidak dikembalikan.

Wee, 55, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai bermula 2008 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan 524 undi.

Pada PRU lepas, pakar bius itu yang menghadapi pertandingan tiga penjuru dan memperoleh 21,255 undi, manakala Wee memperolehi 20,731 undi dan Nordin Othman (PAS-Berjasa) meraih 2,962 undi.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia pada 21 Sept lepas di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas kerajaan PH memenangi PRU-14, Mei tahun lepas.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun berkata PRK kali ini mencatatkan peratusan keluar mengundi 74.5 peratus, iaitu peratus keluar mengundi kedua tertinggi selepas PRK Dewan Undangan Negeri Rantau sebanyak 79 peratus.

Terdapat 52,471 pengundi di kawasan parlimen berkenaan. - Bernama
 

Advertisement