Anda di sini

Barisan pasukan layak untuk Euro 2020 mula terbentuk

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Euro 2020 Kumpulan A di antara England dan Montenegro di Stadium Wembley, London. — Gambar Reuters
AKSI SEBENAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Euro 2020 Kumpulan A di antara England dan Montenegro di Stadium Wembley, London. — Gambar Reuters

PARIS: Barisan pasukan yang dijangka akan bermain dalam Euro 2020 sudah mula terbentuk kelmarin selepas Perancis dan England layak ke kejohanan akhir pada tahun depan bersama Turki dan Republik Czech.

Juara dunia Perancis mara ke kejohanan itu tanpa perlu menendang bola selepas Turki menjamin kelayakan mereka sendiri ekoran keputusan seri tanpa jaringan dengan Iceland dalam perlawanan awal kelmarin.

Pemain Chelsea Olivier Giroud kemudian mengurangkan jurang kepada dua gol antarabangsa di belakang legenda Perancis Michel Platini dengan satu tendangan penalti lewat yang memastikan kemenangan selepas ketinggalan ke atas pasukan Moldova yang menduduki ranking ke-175 di dunia.

Kemenangan tidak sempurna itu stadium Stade de France yang dingin letekkan pasukan Didier Deschamps dua mata di depan Turki di tempat teratas Kumpulan H menjelang perlawanan terakhir mereka di Albania esok (Ahad).

Suasana gembira pada mulanya pudar apabila Vadim Rata menghukum pertahanan buruk untuk membuat kejutan dan meletakkan Moldova di depan pada minit kesembilan.

Bagaimanapun Raphael Varane menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah 10 minit sebelum waktu rehat walaupun dibantah keras oleh pemain Moldova dan jurulatih mereka, yang yakin Giroud telah mengasari penjaga gol Alexei Koselev dalam gerakan sebelum jaringan.

Giroud kemudian menjaringkan golnya yang ke-39 untuk Perancis menerusi tendangan penalti dengan keyakinan yang tidak menggambarkan hakikat bahawa dia bermain hanya selama 20 minit sahaja untuk Chelsea sejak cuti antarabangsa pada bulan lepas.

“Saya dapat dan sepatutnya menjaringkan gol sebelum tendangan penalti itu. Hakikatnya kami tidak bermula seperti yang sepatutnya,” kata Giroud kepada televisyen Perancis.

Harry Kane meletakkan England dalam kejohanan Euro dengan bergaya apabila dia menjaringkan hatrik yang membantu pasukan separuh akhir Piala Dunia 2018 itu merobek Montenegro 7-0 di Wembley.

Kane menjaringkan hatriknya dalam separuh masa pertama apabila pasukan Gareth Southgate menyumbat lima gol sebelum waktu rehat dalam perlawanan ke-1,000 England, tanpa mengambil kira ketiadaan Raheem Sterling, yang digugurkan oleh Southgate pada awal minggu ini selepas dia bergaduh dengan rakan sepasukan Joe Gomez.

“Kami mahu mempamerkan persembahan dalam perlawanan kami yang ke-1,000 dan dengan lima gol pada separuh masa pertama, saya rasa kami telah berbuat demikian,” kata Kane.

England mempamerkan kehebatan yang akan menjadikan mereka salah satu pasukan pilihan untuk Kejohanan Eropah pada tahun depan selepas mereka menduduki tempat pertama dalam Kumpulan A.

Kemenangan kelmarin bermakna mereka menjaringkan 33 gol dalam tujuh perlawanan kelayakan ekoran gol antarabangsa pertama Tammy Abraham, jaringan selanjutnya daripada Alex Oxlade-Chamberlain dan Marcus Rashford selain jaringan sendiri oleh Aleksandar Sofranac.

Sementara itu Kane menduduki tempat keenam dalam senarai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England apabila dia mengumpul 11 gol dalam kempen kelayakan ini.

Republik Czech mengikuti England ke kejohanan itu selepas mereka bangkit setelah ketinggalan untuk menewaskan Kosovo yang menduduki tempat ketiga, 2-1.

Mereka menyertai dua bekas juara Piala Dunia, Sepanyol dan Itali, yang akan memulakan kejohanan pelbagai tuan rumah di Stadio Olimpico, Rom, pada 12 Jun, kuda hitam Belgium, Poland, Rusia dan Ukraine.

Juara bertahan Eropah, Portugal, terpaksa menunggu untuk tempat mereka walaupun Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik antarabangsanya yang kesembilan dalam kemenangan 6-0 ke atas Lithuania di Faro.

Pizzi, Goncalo Paciencia dan Bernardo Silva melengkapkan kemenangan mudah yang mengekalkan Portugal di tempat kedua dalam Kumpulan B di belakang Ukraine yang sudah layak dan satu mata di depan Serbia di tempat ketiga yang menewaskan Luxembourg 3-2.

Mereka akan menjamin tempat mereka di kejohanan akhir pada tahun depan dengan kemenangan di Luxembourg esok (Ahad).

Ronaldo kini sudah menjaringkan 98 gol antarabangsa selepas menyempurnakan tendangan penalti pada minit ketujuh, satu cubaan cantik pada pertengahan babak pertama, dan penyudah mudah pada minit ke-65, dan penyerang Juventus itu pasti berharap untuk menjadi pemain kedua dalam sejarah untuk menjaringkan gol ke-100 pada hujung minggu ini.

Sementara itu Teemu Pukki dan Finland berada di ambang kejohanan utama mereka yang pertama dalam sejarah, selepas kemenangan ke atas Liechtenstein di Helsinki kelmarin sudah memadai untuk menyaksikan mereka layak ke Kejohanan Eropah buat julung kali dalam sejarah mereka. — AFP

Advertisement