Anda di sini

Tiga suspek pembunuh gajah Pygmy Borneo tidak mengaku salah

Advertisement
 Martin (depan), Paranchoi dan Abdullah selepas keluar daripada kandang perbicaraan.  twu-ub151119-hs-gajahP2
TERTUDUH: Martin (depan), Paranchoi dan Abdullah selepas keluar daripada kandang perbicaraan. twu-ub151119-hs-gajahP2

TAWAU:Tiga suspek pembunuh gajah Pygmy Borneo tidak mengaku bersalah atas  kesalahan memiliki atau bersuhabat memiliki dua gading gajah Borneo di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh Paranchoi Nordin, 59, Abdullah Simin, 68, warganegara Malaysia manakala  Martin Alok, 44, warganegara Indonesia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.20 tengah malam, 12.30 tengah malam dan 12.30 tengah hari di Felda Umas 4 dan Kampung Felda Umas, Kalabakan, 2 Oktober lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat memiliki atau bersubahat memiliki dua potong gading gajah Pygmy Borneo.

Haiwan tersebut spesies dilindungi sepenuhnya seperti yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa kebenaran bertulis daripada menteri yang bertindak atas arahan pengarah.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(a) enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih dari RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada ikat jamin dikenakan memandangkan ketiga-tiga tertuduh sedang  menjalani hukuman penjara atas kesalahan memiliki senjata api dan imigresen pada 22  Oktober lalu di mahkamah yang sama.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengarahkan tertuduh ketiga, Martin ditahan semula sejurus selesai menjalani hukuman penjara pada 27 November ini.

“Tertuduh pertama dan kedua pula terus menjalani hukuman penjara selama dua tahun seperti yang ditetapkan mahkamah sebelum ini,” katanya.

 Pegawai JHL membawa barang kes gading gajah tersebut selepas selesai perbicaraan. 
BARANG KES : Pegawai JHL membawa barang kes gading gajah tersebut selepas selesai perbicaraan. 

Semua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan Syarifuddin Abdul Rasa dibantu oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Abdul Karim Dakoq. Manakala kes  sebutan semula ditetapkan pada 16 Disember 2019 jam 9 pagi.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, tertuduh antara enam suspek berumur antara 44 hingga 68 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan tragis seekor gajah Pygmy Borneo di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada September lalu.

Bangkai gajah itu ditemui sekumpulan pemancing di dalam air dalam keadaan terikat dipercayai bagi mengelakkannya hanyut, pada 26 September lalu.

  • oleh
  • Advertisement