Anda di sini

Sarawak, Kuching FA rebut slot Liga Premier

Advertisement

KUCHING: Skuad Sarawak dan Kuching FA akan berentap dalam aksi ‘play off’ di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 23 November ini bagi menentu hala tuju masing-masing untuk saingan tahun 2020.

Bagi pasukan Sarawak, perlawanan tersebut yang perlu dimenangi jika mahu terus kekal bersaing dalam kancah Liga Premier 2020.

Berbanding dengan skuad Kuching FA, jika berupaya mengatasi Sarawak yang juga dianggap sebagai ‘abang’ pastinya disifatkan sejarah tersendiri kerana akan naik pangkat bersaing dalam Liga Premier 2020.

Yang pasti, perlawanan bagi merebut satu-satunya slot beraksi di Liga Premier 2020 diibarat sebagai perlawanan akhir.

Pengemudi Sarawak, Mohd Denny Da’ail mengakui, situasi yang sememangnya sukar diterima kerana terpaksa berdepan dengan skuad Kuching FA.

“Situasi yang memang sukar untuk diterima apabila Sarawak terpaksa turun berdepan Kuching FA untuk saingan play off pada 23 November ini.

“Namun, saya tidak melihat kearah itu malah cuba fokus untuk memenangi perlawanan tersebut bagi memastikan slot terakhir itu milik Sarawak sekali gus kekal bersaing dalam Liga Premier 2020,” ujar Denny.

Ketua Jurulatih Kuching FA, Ideris Untong pula mengakui mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan penting itu.

Katanya, aksi ‘play off’ ini akan dipergunakan dengan sebaik mungkin dengan fokus memastikan kemenangan dapat diperolehi ke atas Sarawak.

“Kita menerima keputusan ini (play off) dengan rasa terbuka walaupun pada dasarnya agak berat untuk dilaksana kerana akan berdepan dengan skuad Sarawak,” ujar Ideris.

Kata Ideris, dari segi peluang tampak seimbang kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Apa yang penting, saya perlu merangka strategi yang akal diguna pakai pemain bagi mengharungi perlawanan itu nanti,” tambah Ideris lagi.

Advertisement