Anda di sini

Penduduk Malaysia 32.63 juta pada suku ketiga 2019

Advertisement

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia pada suku ketiga tahun ini dianggarkan berjumlah 32.63 juta, meningkat 0.6 peratus berbanding 32.43 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah itu merangkumi 29.46 juta orang atau 90.3 peratus warganegara dan 3.18 juta orang (9.7 peratus) bukan warganegara.

Jumlah penduduk lelaki meningkat kepada 16.85 juta orang daripada 16.74 juta orang pada suku ketiga tahun lepas, manakala penduduk perempuan meningkat daripada 15.69 juta orang kepada 15.78 juta orang bagi tempoh sama, katanya.

“Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” kata Mohd Uzir dalam kenyataan berhubung perangkaan demografi suku tahun ketiga 2019 semalam.

Menurutnya, Selangor kekal mencatatkan penduduk paling ramai pada suku ketiga 2019 dengan 6.54 juta orang manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penduduk terendah iaitu 99,400 orang.

Mohd Uzir berkata penduduk umur muda (0-14 tahun) pada suku tahun ketiga tahun ini menurun kepada 7.57 juta daripada 7.68 juta pada suku tahun ketiga 2018, manakala penduduk umur bekerja (15–64 tahun) pula meningkat daripada 22.64 juta kepada 22.85 juta dalam tempoh sama.

“Penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) turut meningkat daripada 2.12 juta kepada 2.21 juta bagi tempoh yang sama. Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, sebanyak 124,150 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun ketiga 2019, menurun tiga peratus berbanding suku tahun ketiga 2018 (127,956).

Sebanyak 41,772 kematian pula direkodkan bagi tempoh berkenaan, menurun 0.9 peratus berbanding suku tahun ketiga 2018 iaitu 42,156 kematian. — Bernama

Advertisement