Anda di sini

Malaysia Airlines tandatangan MoU dengan MED laksana VDP

Advertisement
 Ahmad Luqman (empat kiri) bertukar MoU dengan Wan Suraya disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
LONJAK SYARIKAT TEMPATAN: Ahmad Luqman (empat kiri) bertukar MoU dengan Wan Suraya disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

SEPANG: Malaysia Airlines semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (VDP) pada Program Kerjasama Inovasi Vendor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

VDP adalah program yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha untuk membangun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kalangan usahawan tempatan.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Upacara menandatangani MoU tersebut disaksikan Ketua Kejuruteraan Malaysia Airlines, Eke Nazri Rahim dan Timbalan Ketua Setiausaha MED, Muhammad Razman Abu Samah.

Menerusi MoU ini, Malaysia Airlines akan berperanan sebagai syarikat utama dan akan menyokong program dengan melaksanakan VDP bermula dengan Perkhidmatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan dan AeroDarat.

Terdapat juga lima projek perintis bagi program VDP dalam Malaysia Airlines iaitu pembuatan ‘additive sourcing’, karpet, tempat duduk upholsteri, bahan pencuci pesawat dan kimia.

Pelaksanaan VDP dalam Malaysia Airlines bertujuan untuk membantu mengurangkan 15 peratus kos selain membantu kecekapan operasi.

Menurut Ahmad Luqman, Malaysia Airlines merupakan pemboleh ekonomi penting bagi negara.

“Dengan menandatangani MoU bersama MED, kami juga dapat mencipta kesan berganda dalam ekonomi domestik dengan membangunkan sistem eko bagi vendor tempatan.

“VDP juga membantu memperkasakan syarikat tempatan untuk mendorong perniagaan dalam industri penerbangan Malaysia,” katanya.

Advertisement