Anda di sini

Gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza

Advertisement
 Seorang lelaki Palestin menunjukkan jenazah anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan udara Israel di rumah mayat di Semenanjung Gaza semalam. — Gambar Ashraf Amra/AFP
SEDIH: Seorang lelaki Palestin menunjukkan jenazah anggota keluarga yang terbunuh dalam serangan udara Israel di rumah mayat di Semenanjung Gaza semalam. — Gambar Ashraf Amra/AFP

KOTA GAZA, Wilayah Palestin: Gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza awal semalam, kata sumber Mesir dan seorang pegawai kanan puak Jihad Islam kepada AFP, selepas keganasan dan pertumpahan darah meruncing di wilayah Palestin itu.

“Gencatan senjata itu adalah hasil usaha Mesir” dan disokong oleh “puak-puak Palestin termasuk Jihad Islam”, kata seorang pegawai tertinggi Mesir.

Sumber Jihad Islam mengesahkan persetujuan itu kepada AFP.

Menurut pegawai tersebut, perjanjian itu menyatakan puak-puak Palestin mesti memastikan keadaan kembali tenang di Gaza dan “memelihara keamanan” sewaktu demonstrasi, manakala Israel pula mesti menghentikan permusuhan dan “memastikan gencatan senjata” sewaktu demonstrasi oleh pihak Pa-lestin.

Perjanjian itu, yang berkuat kuasa pada jam 5.30 pagi waktu tempatan, dicapai selepas bilangan kematian dalam serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza meningkat kepada 32 sejak Selasa lepas setelah pegawai Palestin berkata enam anggota sebuah keluarga yang sama telah terkorban.

Ekoran pembunuhan seorang anggota militan terkemuka di Gaza, kedua-dua pihak telah berbalas tembakan sejak Selasa lepas, dan tentera Israel berkata ia merekodkan lebih 350 roket yang dilancarkan ke Israel.

Tentera Israel menyasari apa yang ia sebut sebagai lokasi militan Jihad Islam selain skuad yang melancar-kan roket di wilayah tepi pantai itu.

“Enam anggota keluarga Abu Malhous, termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita, maut dalam serangan Israel ke atas kediaman keluarga mereka di Deir al-Balah, selatan Semenanjung Gaza,” kata kementerian kesihatan Palestin.

Sehari sebelum itu, Israel berkata ia menyasari dua anggota militan Jihad Islam yang bersiap sedia untuk melepaskan misil antikereta kebal.

Penggera serangan udara bergema dan bebola api meletup apabila misil per-tahanan udara memintas roket, yang memaksa warga Israel untuk lari ke pusat perlindungan bom.

Di Gaza, penduduk me-ninjau kerosakan dan menga-bungi mereka yang terkorban di sebuah rumah mayat dan di acara pengebumian.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nickolay Mladenov tiba di Kaherah pada petang kelmarin, kata pegawai lapa-ngan terbang, ekoran lapo-ran bahawa beliau akan mengadakan rundingan untuk menamatkan pertelingkahan.

PBB dan Mesir memainkan peranan penting dalam rundingan bagi gencatan senjata pada masa lalu antara Israel dengan puak militan di Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah menyatakan Jihad Islam mesti menghentikan sera-ngan roket atau “menerima semakin banyak tamparan”.

Jurucakap Jihad Islam Musab al-Barayem telah menyatakan kumpulan itu tidak berminat dengan perantaraan ketika ia bertindak balas terhadap pembunuhan salah seorang komandernya.

Israel membunuh komander kanan Jihad Islam Baha Abu al-Ata dan isterinya Asma dalam satu serangan pada awal Selasa lepas, yang mencetuskan kejadian berbalas serangan roket dan udara.  

Menurut Israel, Ata bertanggungjawab bagi serangan roket ke atas Israel selain serangan lain dan merancang keganasan selanjutnya, dan pihak tentera menyifatkannya sebagai “bom berdetik”.

Keganasan yang meletus menimbulkan kebimbangan tentang konflik besar-besaran baharu antara Israel dengan puak militan Palestin di Gaza, yang sudah terbabit dalam tiga peperangan sejak 2008.

Seramai 32 penduduk Pa-lestin sudah terbunuh setakat pagi semalam, termasuk Ata dan isterinya selain tiga kanak-kanak, menurut ke-menterian kesihatan yang diurus oleh Hamas di Gaza.

Tiada laporan diterima mengenai kematian warga Israel tetapi satu roket nyaris mengenai kereta di sebuah lebuh raya yang sibuk.

Ahli medik Israel berkata mereka telah merawat 48 orang yang mengalami luka ringan, manakala sekolah ditutup di kawasan berhampiran sempadan Gaza untuk hari kedua berturut-turut.

Dalam petanda bahawa ia mahu mengelak konflik lebih luas, sasaran yang diumumkan oleh Israel terhad kepada lokasi Jihad Islam sahaja dan bukan lokasi milik Hamas.

Ia biasanya meletakkan tanggungjawab ke atas Hamas, pergerakan pelampau Islam yang memerintah Semenanjung Gaza, bagi semua serangan roket dari wilayah tersebut sebagai pemerintah hakiki di wilayah itu. — AFP

Advertisement