Anda di sini

Bapa mengaku tidak bersalah merogol anak tiri

Advertisement

KUCHING: Seorang bapa berusia 28 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merogol anak tirinya pada 6 November lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Marutin Pagan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes.

“Tiada ikat jamin ditawarkan terhadap tertuduh.

“Tertuduh ditahan di penjara sementara menunggu tarikh sebutan kes seterusnya,” ujar Hakim Marutin dalam prosiding mahkamah semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Lorong Petra 2, Jalan Astana antara jam 8 dan 9 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kes itu merupakan kes serius melibatkan kesalahan seksual.

“Tertuduh dan mangsa mengenali antara satu sama lain.

Mereka juga tinggal serumah.

“Justeru, pihak pendakwaan khuatir sekiranya tertuduh mengganggu dan mengugut mangsa sehingga mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat,” ujar DPP.

Namun, tertuduh merayu agar diberikan ikat jamin.

“Mangsa sudah berpindah dan tidak tinggal serumah lagi dengan saya.

“Dia kini tinggal bersama ibu bapa kandungnya.

“Saya juga berjanji tidak akan menghubungi atau menghampiri mangsa,” ujarnya ketika memohon kepada mahkamah.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement