Anda di sini

Wakil rakyat GPS angkat plakat untuk tuntut janji Chong - Len Talif

Advertisement
Len Talif yang duduk di belakang Abang Johari menayangkan plakat 'Where 50% Tax Return to Sarawak?' ketika penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

KUCHING: Beberapa kali ketika Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berucap menggulung perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, kelihatan menerusi skrin televisyen beberapa Menteri Muda di belakangnya menayangkan plakat.

Yang jelas kelihatan, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus menayangkan plakat 'GPS Sarawakian First'. 

Mereka berdua duduk di belakang Abang Johari dalam Dewan.

Len Talif ketika dihubungi hari ini berkata palakat lain juga ada ditayangkan mereka - 'Where 50% Tax Return to Sarawak?' dan 'Where 50% Oil and Gas Royalty?'.

"Ini adalah untuk menuntut janji satu ketika dahulu dibuat PH dalam Dewan ini. Tetapi sayang, Chong Chieng Jen (Pengerusi PH Sarawak) tidak berada di dalam Dewan ketika itu," katanya kepada Utusan Borneo.

Jelasnya, mesej GPS adalah jelas bahawa apa yang dijanji perlu ditunai, malah GPS akan berada di hadapan dalam mempertahan dan menuntut hak dan kepentingan Sarawak.

ABDULLAH SAIDOL
ABDULLAH SAIDOL

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini mempamerkan sikap wakil-wakil rakyat PH yang gemar mengeluarkan kenyataan-kenyataan populis.

Malahan, kenyataan berunsur fitnah dan putar belit juga dilemparkan kepada para pemimpin Kerajaan Sarawak bagi meraih populariti politik.

"Perbahasan mereka tentang banyak perkara juga tidak ada yang berunsur membina. Tidak ada (di kalangan) mereka bersuara secara jujur tentang kesungguhan mereka untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri.

"Amat ketara nada serta perlakuan mereka seolah-olah menjadi wakil suara 'ketuanan PH' yang bertapak di Semenanjung Malaysia," katanya ketika diminta mengulas mengenai perjalanan persidangan.

Menurutnya lagi, cubaan terdesak wakil rakyat PH dengan berbagai tuduhan liar serta tidak berasas dapat dibidas dan diperbetulkan oleh wakil rakyat GPS dengan fakta yang tidak mungkin mereka berani cabar kesahihannya.

Chong katanya mengarut apabila melabelkan Belanjawan Sarawak 2020 sebagai 'tong kosong' sedangkan ia menunjukkan kesungguhan GPS membangunkan negeri dengan 70 peratus daripada RM9.9 bilion diperuntukkan untuk pembangunan yang bertumpu di kawasan luar bandar.

Beliau menambah, Chong tidak sedar beberapa projek infrastruktur besar menggunakan sepenuhnya dana negeri seperti pembinaan beberapa jambatan yang telah mula dilaksanakan.

"Warga Sarawak mesti sedar betapa rakus dan terdesaknya Chong serta rakan-rakannya terutama tuan mereka dari Semenanjung ingin menguasai pentadbiran negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

"Alasannya mudah untuk difahami, kerana Sarawak adalah negeri 'simpanan tetap' yang penting untuk ekonomi negara," jelasnya.

Advertisement