Anda di sini

Venice dilanda air pasang paling tinggi dalam tempoh lebih 50 tahun

Advertisement
 Seorang wanita dilihat meredah banjir di Dataran St Mark selepas air pasang tinggi melanda Venice, Itali semalam. — Gambar Marco Bertorello/AFP
BANJIR: Seorang wanita dilihat meredah banjir di Dataran St Mark selepas air pasang tinggi melanda Venice, Itali semalam. — Gambar Marco Bertorello/AFP

VENICE: Venice dilanda air pasang paling tinggi dalam tempoh lebih 50 tahun lewat kelmarin, dan pelancong meredah lebuh yang ditenggelami air untuk mencari perlindungan apabila angin kuat meniup ombak di Dataran St Mark.

“Acqua alta”, atau air tinggi, yang luar biasa kuat, mencapai ketinggian 1.87 meter ketika penggera banjir berbunyi di seluruh kota terusan Itali itu, kata pusat pemantau paras laut.

“Kita sekarang sedang mengalami air pasang yang luar biasa tinggi. Semua orang sudah digerakkan untuk menangani kecemasan ini,” tweet Datuk Bandar Venice Luigi Brugnaro.

Hanya sekali sahaja sejak rekod mula disimpan pada 1923 paras air naik jauh lebih tinggi, iaitu 1.94 meter pada 1966.

Sementara jabatan kecemasan turun ke terusan untuk meninjau kerosakan, media Itali melaporkan seorang penduduk tempatan berusia 78 tahun mati selepas terkena kejutan elektrik selepas air melimpahi rumahnya.

Pasukan pengawal pantai menyediakan bot tambahan untuk bertindak sebagai ambulans air.

Teksi air yang cuba menurunkan orang di hotel glamor dan bersejarah di sepanjang Grand Canal mendapati laluan mudah alih sudah dihanyutkan air, dan terpaksa membantu penumpang ma-suk menerusi tingkap.

“Ia adalah malam yang dijangka lama,” tweet Brug-naro, yang menyatakan apabila paras air mula turun semula “kebimbangan yang dirasai beberapa jam lalu kini sedang digantikan oleh penilaian kerosakan yang berlaku”.

Beliau berkata beliau akan mengisytiharkan keadaan bencana bagi kota itu.

Di Gritti Palace, yang pernah didiami kerabat diraja dan selebriti sejak berdekad-dekad yang lalu, termasuk Ernest Hemingway, Elizabeth Taylor dan Richard Burton, barnya pada amnya ditenggelami air.

Tapestri kaya dihimpun di atas meja, manakala air mengelilingi sofa baldu dan buku berkulit binatang.

Beberapa pelancong Pe-rancis yang terkandas berkata mereka telah “berenang” selepas beberapa platform kayu. yang diletak di sekitar kota itu dalam kawasan yang cenderung mengalami banjir, terbalik.

Sejak 2003, sebuah projek infrastruktur besar-besaran sudah dijalankan untuk melindungi kota itu, tetapi ia telah dihambat kos berlebihan, skandal dan kelewatan.

Rancangan itu menuntut pembinaan 78 pagar terapung untuk melindungi lagun Venice pada waktu air pasang tinggi.

Dataran St Mark khususnya terjejas akibat air paras tinggi, kerana ia terletak di salah satu bahagian terendah di kota itu.

Pierpaolo Campostrini, seorang ahli majlis St Mark, berkata skala banjir kelmarin hanya kelihatan lima kali sahaja dalam sejarah panjang basilika terbabit, di mana pembinaan bermula pada 828 dan dibina semula selepas kebakaran pada 1063.

Paling membimbangkan, kata Campostrini, tiga daripada lima episod tersebut berlaku dalam tempoh 20 tahun terakhir, mutakhir pada 2018.

Kementerian kebudayaan berkata ia akan membantu membiayai penambahbaikan kepada pertahanan banjir basilika.

Venice tidak bersendirian, ribut petir yang kuat melanda Itali pada Selasa dan turut menjejaskan bahagian selatan negara.

Hujan lebat menutup sekolah di beberapa bandar selatan termasuk Taranto, Brindisi dan Matera, selain bandar-bandar Pozzallo dan Noto di Sicily, menurut jabatan cuaca negara.

Di Matera, Kota Kebudayaan Eropah pada tahun ini, puting beliung menumbangkan pokok dan tiang lampu, seterusnya merosakkan banyak bumbung dan bangunan. Tiada kecederaan dilaporkan. — AFP

Advertisement