Anda di sini

PRN12: Abang Johari ingatkan wakil rakyat dan jentera GPS siap siaga tangkis serangan PH 

Advertisement
Abang Johari ketika berucap pada majlis itu.
Abang Johari ketika berucap pada majlis malam tadi.

KUCHING: Wakil rakyat dan jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bersiap sedia untuk menangkis segala serangan dari Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12). 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, PH Sarawak kini giat melakukan 'serangan' berbentuk andaian negatif termasuk serangan peribadi sebagai modal untuk memenangi PRN-12.

Tegas Pengerusi GPS itu, seperti yang terjadi kepadanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-18 yang baharu tamat semalam, pelbagai andian negatif dan serangan peribadi dilakukan PH Sarawak terhadapnya. 

"Mereka kaitkan Belanjawan Sarawak 2020 dengan 1MDB termasuk serangan peribadi terhadap saya tetapi saya ucapkan tahniah kepada anda semua kerana berjaya mematahkan serangan mereka sehingga mereka tersandar. 

"Jadi apa yang saya hendak katakan di sini, kita harus bersiap sedia dengan segala taktik yang digunakan PH untuk menyerang kita. 

"Mereka (PH) hendak menawan kita (Sarawak), kita lawan balik sehingga mereka keluar dari sini (negeri ini)," katanya ketika berucap pada Majlis GPS Backbenchers Night di Hotel Grand Margherita Hotel malam semalam. 

Dalam majlis itu, Abang Johari mengingatkan agar semua wakil rakyat dan jentera GPS menjaga kesihatan diri sebaik-baiknya. 

"Kita ini hendak 'berperang' (PRN) jadi kesihatan mesti dijaga," tambahnya. 

Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat GPS dan kakitangan DUN dalam memastikan persidangan kali ini berjalan dengan lancar.

Terdahulu Pengerusi Kelab Penyokong GPS Paulus Palu Gumbang berkata, semua wakil rakyat GPS berdiri teguh di bawah kepimpinan Ketua Menteri. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau itu menegaskan, GPS bakal berhadapan situasi berbeza pada PRN-12 nanti berbanding pilihan raya sebelumnya. 

"Kami bersatu di bawah kepimpinan anda (Abang Johari), justeru marilah kita tingkatkan keazaman dan kerjasama agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

"Tumpuan kawasan luar bandar adalah tepat kerana ia medan peperangan pada PRN kelak," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement