Anda di sini

Pengasuh taska didenda RM12,000 gores kepala bayi dengan pin tudung

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh taska yang melepaskan geram kerana diberikan banyak kerja dengan menggores kepala seorang bayi lelaki berusia setahun menggunakan pin tudung, dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mendera bayi itu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 22 tahun itu, yang juga merupakan penuntut di sebuah universiti awam, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Wanita itu didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada bayi itu menggunakan jarum sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan calar di kepala mangsa di sebuah pusat taska di Jalan Bukit Pantai, Bukit Pantai, Brickfields, di sini, pada 11 pagi, 21 Jun lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, penuntut  itu yang diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim memohon hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama anak guamnya selain dia sedang marah ketika melakukan perbuatan itu.

"Ketika kejadian, anak guam saya sedang marah kerana disuruh melakukan banyak kerja di taska dan dia melepaskan geramnya kepada bayi itu," kata Mohd Radzuan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana kes penderaan kanak-kanak dan bayi oleh pengasuh semakin berleluasa.

"Ekoran tindakan menggores kepala oleh tertuduh, bayi itu telah mengalami empat kesan calar pada kepalanya. Perasaan marah bukanlah alasan untuk mencederakan.

"Tambahan lagi dia adalah seseorang yang telah diberi kepercayaan oleh ibu bapa bayi itu. Saya mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya. - Bernama 

Advertisement