Anda di sini

Penganggur kena 37 tahun, dua sebatan rogol gadis bawah umur

Advertisement
 Iswandi dibawa keluar dari mahkamah setelah didapati bersalah atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

SIBU: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 37 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini apabila disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan merogol gadis bawah umur.

Mohamad Iswandi, 29, bagi pertuduhan pertama hingga kelima dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan enam tahun penjara berserta satu sebatan bagi pertuduhan keenam dan ketujuh.

Hakim Caroline Bee Majanil mengarahkan tertuduh menjalani kesemua hukuman penjara itu secara serentak bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Iswandi didakwa merogol mangsa yang berumur 15 tahun pada 24 September 2018, kira-kira jam 8.30 malam dan 10.43 malam di sebuah flat di Sibu Jaya.

Manakala bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 September 2018, jam 9.10 malam, 26 September 2018, jam 10.15 malam dan 27 September 2018, jam 11.30 malam, di tempat yang sama.

Sementara dalam pertuduhan keenam dan ketujuh, Iswandi didakwa merogol mangsa di tempat yang sama pada 28 September 2018, pada jam 8.10 pagi dan 7.30 malam.     

Bagi ketujuh pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit dengan kesalahan.

Dalam rayuan, Iswandi memberitahu mahkamah kesal dengan apa yang berlaku dan merayu dikenakan hukuman ringan.

Tertuduh juga memberitahu mempunyai empat orang anak dan telah bercerai dengan isterinya, selain tidak mempunyai pekerjaan.

Sepanjang perbicaraan kes, pihak pendakwa raya telah memanggil enam orang saksi sementara dua saksi bagi pihak pembelaan untuk memberi keterangan. 
 

  • oleh
  • Advertisement