Anda di sini

Pemilik kedai besi buruk didenda RM25,000, simpan 6,400 liter diesel haram

Advertisement
 

MIRI: Seorang pemilik kedai besi buruk didenda RM25,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan menyimpan diesel secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah Ting Tiew Hee, 42, mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menyimpan minyak diesel sebanyak 6,400 liter tanpa mempunyai permit menyimpan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.50 pagi, 26 Ogos 2018 di sebuah premis di Desa Senadin Industrial Park di sini.

Di hadapan mahkamah, pihak pendakwa turut mengemukakan resit hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM12,228.

Mahkamah memerintahkan wang hasil jualan itu dirampas dan dijadikan hasil pendapatan kerajaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Anas Bashari dari KPDNHEP Sarawak manakala tertuduh diwakili peguambela Ranbir Singh.

  • oleh
  • Advertisement