Anda di sini

KEMAS akan menubuhkan tabika transit

Advertisement
 Monalizawati (kiri) menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada salah seorang kanak-kanak KEMAS.
TAHNIAH: Monalizawati (kiri) menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada salah seorang kanak-kanak KEMAS.

SIBU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) secara berperingkat akan menubuhkan tabika transit bagi menyediakan lebih banyak kemudahan penjagaan kanak-kanak kepada golongan ibu bapa yang bekerja.

Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Sarawak Dayang Monalizawati Abang Ismail berkata, pada masa ini juga tabika dan taska KEMAS telah diperluas ke kawasan luar bandar.

“Tabika dan taska KEMAS yang turut diperluaskan ke kawasan luar bandar mendorong ibu bapa untuk memilih KEMAS sebagai pilihan utama mereka.

“Oleh itu, kita di pihak KEMAS secara berperingkat menubuhkan tabika transit yang akan memudahkan ibu bapa yang bekerja kerana anak-anak mereka boleh berada di tabika sehingga petang,” katanya.

Beliau yang mewakili pengarah KEMAS Sarawak berkata demikian semasa berucap pada Hari Apresiasi Tabika dan Taska KEMAS Parlimen Sibu 2019 di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Seramai 320 kanak-kanak KEMAS Parlimen Sibu diraikan pada majlis berkenaan, di mana 21 kanak-kanak menerima sijil penghargaan taska dan 299 lagi kanak-kanak tabika.

Turut menerima sijil ialah seramai 25 peserta program Pendidikan Literasi Fungsian Versi 2.8.

Dalam pada itu Monalizawati berkata, kadar bayaran yang dikenakan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tabika dan taska KEMAS adalah rendah.

“Saya juga yakin bahawa kadar yang kita kenakan adalah jauh lebih rendah daripada tabika dan taska lain dan ini tidak membebankan ibu bapa,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai KEMAS Bahagian Sibu Abduraya Abdul Gafor, para guru KEMAS dan ibu bapa.

  • oleh
  • Advertisement