Anda di sini

Disney+ pertaruhkan siri baharu ‘Star Wars’ lakonan Pedro Pascal

Advertisement
PEDRO PASCAL
PEDRO PASCAL

BINTANG siri televisyen baharu Star Wars yang bercita-cita tinggi terbitan Disney ingat waktu dia pertama kali melangkah ke dalam galaksi yang begitu jauh.

Pedro Pascal sedang mencuba topi keselamatan wataknya untuk ‘The Mandalorian’ – program aksi hidup berbajet mega yang melancarkan platform striming Disney+ – apabila dia ternampak sesuatu dalam cermin.

“Jika anda membesar dengan bermain alat permainan Star Wars, dan menonton filemnya, dan kemudian anda menatap diri sendiri dan anda adalah imej bagi imaginasi pada zaman kanak-kanak itu – ia adalah waktu ‘cubit aku’ yang amat hebat sekali,” imbau Pascal.

Disney amat mengharapkan agar audiens mempunyai perasaan yang sama.

Pencabar baharunya kepada Netflix – dengan kos AS$6.99 sebulan di Amerika Syarikat – banyak berniaga berdasarkan nostalgia, dan memiliki katalog lama yang amat besar sekali daripada animasi klasik Disney dan animasi kegemaran Pixar hingga kepada filem adiwira Marvel dan ‘The Simpsons’.

Namun Disney+ mempunyai tajuk asal yang agak sedikit ketika ia dilancarkan, yang bermakna banyak bergantung kepada ‘The Mandalorian’.

Ditulis dan diterajui Jon Favreau, yang mengarah filem pembikinan semula ‘The Jungle Book’ dan ‘The Lion King’ terbitan Disney yang amat berjaya sekali, program itu menghimpunkan ramai bintang dari dalam dan luar francais legenda itu.   

Pascal, pelakon dari Chile, dan dikenali peminat ‘Game of Thrones’ dan ‘Narcos’, membawa watak seorang pemburu ganjaran bertopeng yang dikenali sebagai The Mandalorian.

Butiran episod perintis dirahsiakan dengan ketat. Namun cerita itu berlaku lima tahun selepas ‘Return of the Jedi’, dan mengikuti kisahnya sebagai seorang pemburu upahan yang berkeliaran di pinggir galaksi yang tidak ada undang-undang.

“Dia diselubungi misteri – seluruh cerita yang benar-benar tersembunyi di bawah perisai,” kata Pascal kepada wartawan di satu sidang akhbar di Los Angeles.

Dia akan disertai bintang aksi veteran Carl Weathers (‘Rocky’), bekas ahli seni pertahanan diri Gina Carano (‘Deadpool’) dan penjahat ‘Breaking Bad’, Giancarlo Esposito.

Taika Waititi (‘Jojo Rabbit’, ‘Thor: Ragnarok’) mengarah sebuah episod selain menjadi suara droid, manakala Nick Nolte dan pengarah German Werner Herzog juga ada watak.

Namun peminat tegar Star Wars pasti paling teruja dengan kehadiran penerbit eksekutif dan pengarah Dave Filoni, yang digambarkan sebagai “orang kanan” George Lucas.

Lucas, pencipta Star Wars, menjual Lucasfilm kepada Disney pada 2012.

Namun Filoni bekerja rapat hampir selama sedekad dengan pembuat filem itu dalam beberapa projek Star Wars sebelum ini, dan membawa sedikit kesinambungan masa lalu kepada projek berkenaan.

“Salah satu impian George walaupun ketika saya bekerja bersamanya untuk ‘Clone Wars’, dia akan bercakap mengenai striming pada masa depan, masa depan yang bersifat episod, Star Wars bersiri,” kata Filoni.

Kemajuan besar dalam teknologi – dan kekayaan Disney – kini sudah membawa apa yang dahulu hanya dapat berlaku dalam filem blokbuster sahaja, ke skrin kecil.

“Saya cuba memberi ilmu pengetahuan yang telah diturunkan kepada saya oleh George untuk Star Wars, dan cara dia amat suka mengambil gambar,” kata Filoni.

Lucas sendiri malah melawat set penggambaran, dan muncul dalam satu gambar Instagram yang dikongsikan oleh Favreau pada tahun lepas.

Selain ‘The Mandalorian’, sekurang-kurangnya dua lagi siri aksi hidup Star Wars sedang diusahakan untuk Disney+.

Dari pelancaran, platform itu juga akan mengadakan tayangan perdana untuk filem aksi hidup yang dibikin semula untuk ‘Lady and the Tramp’.

Pasca-penerbitan bagi filem baharu berlaku di lot studio sama di luar Los Angeles di mana filem asal pada 1955 dicipta.

Ia difilemkan dengan menggunakan anjing tulen – kebanyakannya anjing liar yang diselamatkan dari tempat perlindungan dan keluarga angkat – yang menyaksikan pergerakan mulut ditindan ke atas mereka dengan kesan visual janaan komputer.

Tessa Thompson dan Justin Theroux masing-masing menjadi suara anjing baka tulen dan anjing kacukan liar yang jatuh cinta.

Disney+ juga akan memaparkan sebuah mokumentari baharu berdasarkan ‘High School Musical’.

Siri berskrip 10 episod itu menyaksikan murid-murid di sekolah sebenar di Salt Lake City, di mana filem asal difilemkan, mengadakan raptai bagi penerbitan baharu lagu-lagu hitnya 13 tahun kemudian.  

Menurut Disney, program itu telah dicipta “menerusi lensa kepekaan budaya yang signifikan pada 2019” – contohnya, watak wanita utama dibesarkan oleh dua ibu.

Namun kerinduan bagi kegemaran pada masa lalu yang disayangi adalah kunci bagi Disney+, apabila ia bersaing dalam pasaran yang sesak dengan Netflix, Amazon Prime, Apple TV+, HBO Max dan banyak lagi.

The Mouse House akan membuka arkib filemnya atas platform striming itu, dengan filem-filem daripada klasik seperti ‘Old Yeller’ dan ‘Fantasia’ hingga kepada ‘Frozen’ dan ‘Iron Man’ dalam talian dari hari pertama.

Pelanggan perlu menunggu lebih lama untuk rancangan yang luas dan besar bagi projek-projek baharu, daripada filem ‘Lizzie McGuire’ dewasa yang dibikin semula dan kembali dibintangi Hilary Duff hingga kepada beberapa siri TV adiwira Marvel. — AFP

Advertisement