Anda di sini

AirAsia sokong kempen menyelamatkan populasi harimau Malaya yang kian pupus

Advertisement
 (Dari tujuh kiri) Tony Fernandes, Dr. Xavier Jayakumar serta Ketua Setiausaha, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Zurinah Pawanteh bersama tetamu kehormat dan pengurusan AirAsia melancarkan livery khas Selamatkan Harimau Malaya.
KEMPEN: (Dari tujuh kiri) Tony Fernandes, Dr. Xavier Jayakumar serta Ketua Setiausaha, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Zurinah Pawanteh bersama tetamu kehormat dan pengurusan AirAsia melancarkan livery khas Selamatkan Harimau Malaya.

SEPANG: AirAsia telah melancarkan pesawat dengan rekaan hiasan atau ‘livery’ khas ‘Selamatkan Harimau Malaya’ untuk menyokong kempen kerajaan dalam usaha menyelamatkan populasi harimau Malaya yang kian pupus.

Pesawat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia bagi menyokong program pemuliharaan alam sekitar selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberi sokongan mereka terhadap kempen tersebut.

Hiasan pesawat Airbus A320 tersebut dilancarkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat di Sepang semalam.

Ketua Hal Ehwal Global & Kelestarian Kumpulan AirAsia Shasha Ridzam berkata, harimau Malaya adalah simbol kekuatan dan juga merupakan sebahagian daripada identiti negara kita.

“Kita tidak mahu anak-anak kita membesar di dunia yang menampilkan harimau Malaya sebagai imej pada jata negara semata-mata.

“Kita harus memainkan peranan untuk melindungi mereka. Saya berharap pesawat khas ini dapat membantu memacu kempen pemuliharaan hidupan liar pihak kerajaan ke tahap seterusnya,” ujar beliau.

Tony Fernandes pula mengucapkan tahniah kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli atas langkah-langkah proaktif yang diambil dalam melindungi harimau Malaya.

“Kami berbangga dapat memainkan peranan kami dalam membantu kempen ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Xavier pula meluahkan rasa gembira kerana kempen Selamatkan Harimau Malaya dan Hutan Kita disokong oleh AirAsia.

“Simbol kebangsaan kita kian pupus dan amat membimbangkan. Justeru, kita perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan harimau kita.

“Selain itu, Kempen Hutan Kita juga amat penting kerana tanpa hutan, harimau dan hidupan liar mungkin tidak wujud,” ujar beliau.

Beliau juga berharap dengan adanya sokongan AirAsia, kesedaran mengenai mesej penting ini dapat ditingkatkan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini untuk menyelamatkan harimau di Malaysia.

AirAsia juga menyokong kempen alam sekitar lain anjuran Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan menaja penerbangan pergi dan balik 10 Orang Asli untuk menghadiri Pameran Hutan Kita pada Ogos 2019.

Ia juga menyokong lawatan ke Pusat Menyelamatkan Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak bersama Allstars pada Oktober 2019.

Usaha kelestarian AirAsia termasuklah program kesedaran kepada tetamu mereka, iaitu dengan mengurangkan karbon dan pengurusan sisa, pengumpulan dan pemisahan barang-barang kitar semula serta program pelancongan yang berasaskan komuniti seperti JourneyD.

AirAsia juga melanjutkan inisiatif perusahaan sosial di seluruh ASEAN menerusi yayasannya, AirAsia Foundation.

Advertisement