Anda di sini

1MDB: Perbicaraan kes ketiga dihadapi Najib bermula Isnin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, yang menghadapi pertuduhan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB, akan bermula Isnin ini seperti dijadualkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan semasa membuat keputusan itu berkata adalah sukar untuk mencari tarikh lain sekiranya tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan lebih awal di hadapannya dikosongkan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan.

Mohamed Zaini sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 Nov tahun ini dan 13 hingga 17 Januari 2020 sebagai tarikh perbicaraan.

“Sekiranya saya mengosongkan tarikh berkenaan, adalah amat sukar untuk mencari tarikh lain,” katanya.

Pada 7 November, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon untuk mengosongkan tarikh perbicaraan itu berikutan saksi utama yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu sedang memberi keterangan dalam pemeriksaan balas pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Menurut Sri Ram, kemungkinan besar pemeriksaan balas ke atas saksi itu, bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam kes 1MDB tidak akan selesai dalam waktu terdekat.

Mengulas isu itu, Mohamed Zaini mencadangkan kepada pihak pendakwaan untuk memanggil saksi lain untuk memberi keterangan.

“Bila tiba masanya bagi giliran Datuk Shahrol memberi keterangan, saya boleh beri jaminan kepada pihak pendakwaan bahawa saya tidak akan mendesak beliau untuk memberikan keterangan sehingga beliau selesai memberi keterangan dalam kes 1MDB,” katanya.

Najib, 66, yang memakai sut biru  diwakili peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah manakala Arul Kanda, 43,  diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Disember 2018, Najib menghadapi pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement