Anda di sini

108 syarikat tempatan dapat manfaat daripada VDP Petronas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 108 syarikat tempatan mendapat manfaat melalui program pembangunan vendor (VDP) Petronas dengan kontrak bernilai kira-kira RM9 bilion setakat Oktober tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dalam usaha memastikan lebih ramai vendor serta perunding tempatan terlibat secara aktif dan kompetitif dalam industri minyak dan gas, Petronas, dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi telah melaksanakan pelbagai usaha, program serta inisiatif, termasuk VDP.

“Petronas memandang serius dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan perunding tempatan. Sebagai contoh, apabila aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas Petronas di Turkmenistan dan Myanmar, perunding tempatan lebih dilibatkan bersama.

“Ia memandangkan infrastruktur dan kepakaran negara tersebut masih terhad dan ini membuka peluang kepada perunding-perunding ini untuk meneroka pasaran baharu,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berkenaan rungutan dalam kalangan perunding industri minyak dan gas mengenai penggunaan perunding luar negara dan tidak memberi kepercayaan dan peluang kepada perunding tempatan.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Azmin berkata syarikat perunding tempatan merangkumi lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat perunding yang dilantik Petronas.

“Bagi skop kerja yang terlalu khusus dan teknikal seperti kejuruteraan, pemilikan, pembinaan dan perlaksanaan (EPCC), teknologi proprietari dan digital (ICT), kepakaran tempatan adalah sangat terhad dan perlu diperoleh daripada sumber luar.

“Sebagai contoh, teknologi pemetaan seismik laut dalam hanya dimiliki oleh segelintir syarikat global, dan kepakaran ini tidak dimiliki oleh mana-mana perunding tempatan atau boleh dibangunkan dalam masa singkat oleh Petronas sendiri,” katanya.

Kerja-kerja yang dilaksanakan itu juga, katanya, memerlukan kos modal yang tinggi, berteknologi tinggi, kompleks dan rumit kerana lapangan minyak dan gas yang ada sekarang adalah di laut dalam dan mempunyai kadar kontaminan yang tinggi.

Setakat ini, Azmin berkata hanya terdapat empat firma global yang menawarkan khidmat pemerolehan seismik laut dalam di dunia.

“Petronas melantik perunding-perunding atau vendor-vendor dari luar negara untuk memastikan kelangsungan projek dan sasaran kritikal tercapai,” katanya. — Bernama

Advertisement