Anda di sini

Wanita tetak ibu sendiri dihantar ke Hospital Sentosa selama sebulan

Advertisement
Suspek diiringi polis menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching, hari ini.
Suspek diiringi polis menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang wanita yang disyaki menetak ibunya sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam satu insiden di Taman Sentah, Batu 18 Jalan Kuching-Serian pada Rabu minggu lepas, dihantar ke Hospital Sentosa untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mohd Syukri Mokhtar terhadap wanita berusia 20 tahun terbabit bagi menjalani pemantauan mental.

Justeru, dia yang terdahulunya ditahan reman selama enam hari bermula 8 November, dibebaskan pada hari ini dan seterusnya dihantar ke Hospital Sentosa.

Terdahulu, wanita berkenaan direman untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu, 6 November lalu, polis berjaya menangkap wanita tersebut yang dikatakan kurang siuman pada jam lebih kurang 6.30 petang.

Dia dikatakan berdiri di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Tawi Sli dari jam 10 pagi sehingga ditangkap. 

Semasa polis menjalankan soal siasat, suspek didapati hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang maklum balas serta pengakuan. 

Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, suspek dikatakan melarikan diri meninggalkan ibu kandungnya berlumuran darah.

Hanya mangsa berusia 49 tahun dan suspek sahaja berada di rumah semasa kejadian berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan, suspek dipercayai menggunakan sejenis pisau pemotong daging untuk menetak mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dan luka yang dalam di bahagian paha dan perut.

Menurut Aidil juga, senjata yang digunakan suspek berjaya ditemui di dalam tong sampah yang terletak selang lapan rumah dari tempat kejadian.
 

  • oleh
  • Advertisement