Anda di sini

Sukan rakyat pengerat silaturahim

Advertisement
 Japlin (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena majlis itu.
HADIAH: Japlin (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena majlis itu.

KOTA BELUD : Aktiviti dalam komuniti khasnya yang melibatkan semua peringkat usia adalah antara aktiviti sihat yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga dan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Japlin Akim berkata aktiviti dalam komuniti yang dilakukan bersama adalah kunci kepada kekuatan dan penyatuan masyarakat majmuk.

"Bersama dalam aktiviti seperti bergotong-royong, acara sukaneka, sambutan hari keluarga, rewang bagi tujuan jamuan dan kenduri serta banyak lagi aktiviti seumpamanya adalah antara kunci kepada pembentukan kawasan kejiranan dan kumpulan komuniti yang sihat.

"Sihat dari segi mental, fizikal dan sihat dari segi perhubungan silaturahim yang dituntut oleh semua agama,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sukan Rakyat Bersama Pemimpin Kampung Bira Biraan dan Kampung Tanjung Batu di Padang Kampung Bira Biraan Kota Belud semalam.

Menurut Japlin, aktiviti seumpama itu juga perlu sentiasa diadakan bagi merapatkan jurang diantara komuniti dengan pemimpin.

"Bagi saya, kita saling memerlukan dan perlu saling kenal mengenal di antara satu sama lain dengan baik kerana kita adalah komuniti yang tinggal dalam satu rumpun harmoni dan saling menghormati di antara satu sama lain.

 Japlin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang terlibat dalam program tersebut.
KENANGAN: Japlin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang terlibat dalam program tersebut.

"Saya amat berbangga kerana apa yang saya lihat hari ini, para ibu bapa dan anak-anak, ramai yang sama-sama berganding bahu memeriahkan acara-acara menarik yang diadakan dan ini adalah petanda bahawa kita adalah komuniti sihat yang harmoni dan tidak akan tergugat dengan ancaman negatif yang mungkin cuba menjejaskan hubungan baik kita sesama komuniti masyarakat,"katanya lagi.

Japlin turut meminta para ibu bapa untuk terus menyemaikan nilai murni yang baik kepada anak-anak khasnya dari segi pergaulan komuniti dan amalan menghormati sesama jiran tetangga.

Semasa program tersebut berlangsung, pelbagai acara menarik turut dipertandingkan antara acara sukaneka, perlawanan tarik tali dan sukan kanak-kanak.

Advertisement