Anda di sini

SFC serbu restoran jual daging haiwan eksotik di Selangau

Advertisement
Daging haiwan eksotik yang dirampas dari restoran di Selangau
Daging haiwan eksotik yang dirampas dari restoran di Selangau

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyerbu sebuah restoran di Selangau kerana menjual daging eksotik secara haram.

SFC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan penguatkuasa dari Pejabat Serantau Sibu melakukan serbuan tersebut selepas memperoleh maklumat daripada orang ramai.

"Pelbagai jenis daging eksotik yang ditemui pasukan tersebut merupakan spesies terlindung seperti tenggiling, labi-labi, ular sawa, beruang madu, biawak benggala, kelawar, katak dan babi hutan," ujar kenyataan itu.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, pemilik dan tukang masak restoran itu disoal pegawai penguatkuasa untuk mendapatkan maklumat terperinci supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

"Mereka akan didakwa kerana melakukan kesalahan memiliki haiwan secara haram yang dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

"Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.00 dan satu tahun penjara," katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak mengambil daging eksotik ini kerana tiada yang akan membekalkan daging ini sekiranya tiada permintaan.
 

Advertisement